Rabu, 16 Mac 2016

Kafa nafi Vida Beauty beli hak penyiaran

Datuk Vida
 

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) menjelaskan penaja utama mereka, Vida Beauty Sdn Bhd tidak pernah membeli hak penyiaran siaran langsung melibatkan skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Ismail Md Noor berkata, pihaknya tampil menjelaskan perkara tersebut setelah timbul salah tanggapan yang mengatakan pasukan bola Kelantan membolot hak siaran langsung perlawanan, pada musim ini.

“Kafa ingin menegaskan bahawa berita yang mengatakan Datuk Seri Vida (Datuk Seri Dr Hasmiza Othman) melalui syarikatnya (Vida Beauty) telah membeli hak penyiaran siaran langsung perlawanan melibatkan pasukan Kelantan adalah tidak benar.

“Hak milik penyiaran untuk semua perlawanan bola sepak pertandingan Liga Super, 100Plus Liga Premier, Superbest Power Piala FA dan TM Piala Malaysia musim 2016 adalah milik penuh Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP),” katanya menerusi kenyataan kepada media.

Menurutnya, pihak FMLLP kemudian telah melantik Media Prima Berhad (Media Prima) sebagai penyiar rasmi selepas proses penilaian pembidaan dibuat, pada awal tahun ini.

Walau bagaimanapun, Ismail memberitahu, syarikat milik jutawan kosmetik itu telah membeli slot iklan daripada Media Prima bagi membolehkan iklan produk-produk Vida Beauty disiarkan ketika siaran langsung perlawanan bola sepak diadakan.

“Saya ingin jelaskan sekali lagi, Vida Beauty tidak ada hak ke atas semua penyiaran perlawanan bola sepak tersebut. Sebarang kenyataan lanjut berkaitan perkara ini hendaklah dihentikan dengan segera.

“Kafa berharap dengan penjelasan ini, persepsi salah tentang penajaan dan hak siaran langsung ini terutama dalam kalangan peminat dan penyokong Kelantan dapat diperbetulkan," katanya.


Tiada ulasan: