Sabtu, 5 Mac 2016

JDT layak ke suku akhir Piala FA

JDT layak ke suku akhir Piala FA
Safee Sali (kanan) diasak pemain Negeri Sembilan, Annas Rahmat pada Perlawanan Superbest Power Piala FA di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos Larkin.
 
 
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) layak ke pusingan suku akhir Superbest Power Piala FA selepas menang mudah ke atas Negeri Sembilan 4-1 di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos Larkin, di sini, malam ini.

Pasukan pelawat pada babak pertama perlawanan dikejutkan dengan gol pembuka tirai JDT hasil sepakan lambung Aznie Taib dari luar kotak penalti pada minit kelima.

Tindakan pemain Negeri Sembilan mengasari Gary Steven Robart membawa padah apabila dihadiahkan sepakan penalti oleh Pengadil Perlawanan, Mohd Fairuzi Mat Desa.

Mohd Amri Yahya berjaya menyempurnakan sepakan penalti sekaligus memberi gol kedua buat Harimau Selatan pada minit kesembilan.

Juara Liga Super musim lepas itu terus mengasak pasukan pelawat melalui sepakan leret Azammuddin Akil pada minit ke-15, namun sedikit tersasar keluar.

Sepakan lambung Aznie dari luar kotak penalti sekali lagi hampir menggegarkan gawang gol Negeri Sembilan pada minit ke-33, tetapi tidak menepati sasaran.

Anak buah Gary Michael Phillips membuat beberapa serangan balas, namun sepakan leret Joel Chianese Joseph pada minit ke-38 sedikit tersasar keluar.

Babak kedua perlawanan menyaksikan asakan bertalu-talu anak buah Mario Gomez mencari gol ketiga melalui tandukan Safee Sali pada minit ke-53, namun sekadar melepasi palang gol.

Bagaimanapun, kemasukan Pareyra Diaz serasi berkolaborasi bersama Safiq Rahim sehingga membuahkan gol ketiga JDT apabila tandukannya selepas menerima hantaran lambung Safiq berjaya memboloskan gawang gol pasukan pelawat.

Usaha Negeri Sembilan yang dilihat gigih mencari gol pertama berhasil selepas tendangan kencang Andrew Nabbout pada minit ke-62 berjaya merobohkan benteng pertahanan tuan rumah.

Pasukan pelawat sekali lagi hampir merapatkan jurang gol dengan tuan rumah melalui sepakan leret Mohd Norhafizzuan pada minit ke-79, namun berjaya didakap kemas Mohd Izham Tarmizi.

Beraksi pada masa tambahan dua minit, JDT meledakkan gol keempat hasil sepakan Pareyra Diaz sebelum wisel penamat ditiup pengadil perlawanan dari Perak.

Tiada ulasan: