Selasa, 22 Mac 2016

'Janganlah helikopter jatuh di sekolah ini'

'Janganlah helikopter jatuh di sekolah ini'
Helikopter APMM melakukan pendaratan cemas di padang SMKA Sabak Bernam, di sini, semalam. - Foto Sinar Harian


SUNGAI BESAR - "Saya dengar bunyi deruman angin kuat, pelajar kata ada helikopter jatuh," kata seorang guru, Mohd Najib Al Puad, 52, yang menyaksikan sebuah helikopter mendarat cemas di Sekolah Menangah Kebangsaan Agama (SMKA) Sabak Bernam, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, helikopter Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang dinaiki seorang juruterbang dan lima krewnya terselamat apabila terpaksa mendarat cemas di padang sekolah itu akibat mengalami masalah teknikal.

Mohd Najib berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang mengajar pelajar tingkatan enam di tingkat dua bangunan sekolah itu sebelum terdengar bunyi enjin helikopter terbang rendah seolah-olah mahu terhempas.

"Dalam hati saya terdetik juga janganlah helikopter jatuh di sekolah ini. Risau juga waktu tu, sebab bunyinya amat kuat hingga membingitkan telinga," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Najib memberitahu, sebaik keluar dari kelas itu, dia sempat menyaksikan helikopter itu berpusing beberapa kali kira-kira lima minit sebelum mendarat di padang sekolah itu.

"Sebaik mendarat, juruterbang meminta kebenaran daripada pihak sekolah untuk mendarat dan memaklumkan pihaknya mengalami masalah enjin," katanya.

Katanya, beberapa minit sebelum melakukan pendaratan cemas, pesawat yang ingin ke Pulau Pinang itu terlebih dahulu mendarat di padang Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jemaah (Samtaj).

"Juruterbang beritahu mereka tak boleh teruskan perjalanan kerana helikopter mengalami masalah teknikal dan mereka telah hubungi pusat kawalan di Subang bagi memaklumkan kejadian terbabit," katanya.

Menurut Mohd Najib, sebuah lagi helikopter APMM diterbangkan ke lokasi kejadian bagi membantu kerja-kerja bantuan teknikal helikopter terbabit.

"Helikopter itu berlepas kira-kira jam 1 petang selepas beberapa kali menjalani ujian penerbangan," katanya.


Tiada ulasan: