Selasa, 29 Mac 2016

Isu derma 2.6 Bilion: Jawab atau tidak?



 
Oleh Shamsul Iskandar Mohd Akin


Segalanya bermula secara rasmi pada 16 Mac 2016. Soalan-soalan yang berkaitan dengan derma RM 2.6 billion tidak boleh lagi dijawab oleh kerajaan di dalam Dewan Rakyat. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menyebut bahawa soalan-soalan itu tidak boleh lagi dijawab atas alasan perkara berkaitan telah difailkan di mahkamah.

 Badan Peguam Malaysia telah memfailkan satu permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan Peguam Negara yang mengarahkan siasatan isu derma RM2.6 billion oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditutup sekaligus membersihkan dakwaan yang terpalit kepada Perdana Menteri, Najib Razak.

Beliau juga menyebut bahawa jika dijawab soalan-soalan itu akan berlakunya subjudis kepada proses mahkamah. Beliau merujuk kepada Perkara 23(1)(g) Aturan Mesyuarat, sesuatu soalan itu tidak boleh dikemukakan jika sudah di bawah pertimbangan mahkamah yang boleh merosakkan sesuatu pihak atau subjudis.

Kenyataan yang dibuat oleh Azalina telah menggoncangkan komuniti Dewan Rakyat khususnya barisan pembangkang. Kenyataan beliau dibahas dalam Parlimen oleh YB Gobind Singh Deo menyangkal kenyataan yang dibuat oleh Menteri Azalina dengan menegaskan permohonan semakan kehakiman belum lagi mendapat kebenaran daripada mahkamah. Maka beliau berhujah tidak timbul di sini isu subjudis kerana proses semakan kehakiman belum lagi berjalan.

Sebelum itu lagi, di awal sesi Parlimen kali ini, soalan saya berkenaan dengan isu RM 2.6 billion yang ditujukan kepada Najib Razak ditolak oleh urusetia Parlimen kononnya perlu ditujukan kepada menteriberkenaan. Soalan saya hanya ringkas sahaja. Bagaimana derma RM 2.6 Billion dipulangkan?

Apakah kaedah pemulangan termasuk kepada siapa dan bentuk pemulangan sama ada ia dibayar secara tunai. Bank mana yang digunakan Perdana Menteri dan apakah Bank Negara dimaklumkan berkaitan perkara itu. Bunyinya nampak senang dijawab dan hanya perlu satu jawapan yang jelas oleh Najib Razak.

Itupun soalan-soalan tersebut ditolak dan sehingga kini saya masih tidak dapat memahami mengapa soalan-soalan itu ditolak. Harus diingat tujuan soalan-soalan itu ditanya adalah untuk dijadikan rekod dalam Parlimen dan untuk dijadikan tatapan oleh rakyat jelata di luar sana.

Isunya sekarang ini adalah samaada menjawab soalan-soalan berkaitan derma RM2.6 billion adalah subjudis atau tidak?

Merujuk kepada Perkara 23(1)(g) Peraturan Mesyuarat Parlimen, telah disebutkan bahawa sesuatu soalan itu jika sudah di bawah pertimbangan mahkamah tidak boleh dibuat atau perkara yang subjudis kepada proses mahkamah. Namun, merujuk Perkara 36(2) aturan yang sama, hanya Tuan Yang Dipertua sahaja yang boleh menentukan sesuatu perkara itu adalah subjudis atau tidak.

Apakah terdapat pendirian Parlimen terdahulu yang membincangkan samaada perkara itu subjudis atau tidak? Jika subjudis, apakah Speaker pernah membuat satu ketetapan atau ruling membenarkan perkara itu dibincangkan dalam Dewan Rakyat.

Untuk menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan di atas, wajar kita merujuk dan membaca kembali Hansard Parlimen bertarikh 28 Oktober 1980 di mukasurat 4400-4403. Pada ketika itu, Ahli Parlimen Tanah Merah meminta Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada ketika itu, Allahyarham Tun Dr Syed Nasir Syed Ismail, untuk membuat satu ruling samaada perkara yang telah dibawa ke mahkamah adalah subjudis atau tidak.
Dalam memberikan ruling pada ketika itu, Tun Dr Syed Nasir telah menghuraikan dengan panjang lebar jika sesuatu perkara itu adalah subjudis. Pertama, beliau menjelaskan Perkara 36 (2) Peraturan Mesyuarat yang berbunyi:

”Tidak boleh disebutkan apa-apa perkara yang sedang dalam timbangan mahkamah sekira-kira pada timbangan Pengerusi harus merosakkan kepentingan-kepentingan pihak yang berbicara itu.”

Di bawah Peraturan Mesyuarat ini terbahagi kepada dua bahagian atau limb; iaitu satu berkenaan dengan subjudis dan satu lagi ialah perkara yang dikatakan “pada pertimbangan Pengerusi (baca Yang di-Pertua) harus merosakkan kepentingan-kepentingan pihak yang berbicara itu”. Dalam menjelaskan maksud subjudice, beliau telah merujuk kepada kamus Dictionary of English Law oleh Jowitts, di mana kamus itu menjelaskan subjudice ialah di dalam perbicaraan atau ”in the course of trial”. Dalam kamus itu juga mengatakan, perbicaraan itu bermula dari masa sesuatu tuntutan itu difail atau dikemukakan di mahkamah.

Kemudian, beliau menjelaskan pula, bahagian kedua atau second limb yang menyatakan “sekira-kira pada timbangan Yang di-Pertua harus merosakkan kepentingan-kepentingan pihak yang berbicara itu”. Dalam membuat pertimbangan beliau sebagai Pengerusi Mesyuarat, beliau telah membuat rujukan kepada beberapa buah buku berkaitan dengan perkara yang penerbitan yang ada kaitan dan hubungannya dengan masalah atau perkara yang dihadapan kita yang dipertanyakan tadi, iaitu saya rujukkan kepada ‘”The Law Reports 1974″ iaitu rayuan pembicaraan Peguam Negara Britain melawan The Times News Papers dalam tahun 1974, the Weekly Law Reports 1969 Volume I (rayuan pembicaraan Thomson melawan Times News Papers Ltd) dan satu yang lain, the Weekly Law Reports 1974 (rayuan pembicaraan Moir melawan Walfersteiner dan Iain-lain) dan juga Erskine May iaitu Edisi atau Cetakan Kesembilan belas.

Masalah yang dibincangkan pada ketika itu ialah pertikaian di bawah timbangan Mahkamah sekarang ini adalah tuduhan di atas amalan curang (malpractice) oleh Syarikat Esso mengenai pengeluaran minyak yang secara berlebihan. Dalam erti kata lain, satu saman telah difailkan oleh Esso Malaysia terhadap YB Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Petaling pada ketika itu, atas tuduhan Esso Malaysia menghasilkan minyak secara berlebihan pada kadar 25000 tong lebih berbanding 35000 tong satu hari sebagaimana termaktub dalam perjanjian yang dimeterai antara Esso Malaysia dan PETRONAS di pelantar minyak Tapis A, luar pesisiran pantai Terengganu. Akibat daripada pengeluaran hasil minyak secara berlebihan, Kit Siang berkata bahawa Malaysia akan menanggung rugi sebanyak RM806 juta setahun.

Pada hemat Tun Syed Nasir, minyak merupakan satu bahan penting yang telah meningkat menjadi hasil utama negara. Oleh yang demikian, perkara ini mempunyai kepentingan negara dan ekonomi negara. Beliau menambah kepentingan negara mengatasi segala kepentingan yang lain.

Justeru itu, ternyata perkara di atas telah menjadi pertimbangan di dalam mahkamah dan tidak syak lagi ia adalah subjudis. Namun, atas nama kepentingan negara dan ekonomi, Tun Syed Nasir telah membuat ruling membenarkan perkara di atas dibincangkan dalam Dewan Rakyat.

Jika dibandingkan perkara yang dibincangkan pada ketika itu dengan derma RM 2.6 billion, ibaratnya sama. Kedua-duanya mempunyai persamaan yang sama melibatkan kepentingan negara dan ekonomi.

Semestinya, isu derma RM 2.6 billion melibatkan kepentingan negara dan ekonomi. Imej dan integrity Perdana Menteri merupakan kepentingan negara kerana kedua-duanya adalah cerminan kepada kepimpinan dan keupayaan pentadbiran negara. Melihat daripada perspektif kepentingan ekonomi, kegagalan menyelesaikan masalah isu derma RM 2.6 billion akan menyebabkan pelbagai masalah kepada ekonomi. Buktinya sudah terjadi.

 Kejatuhan wang ringgit berbanding Dolar Amerika ke paras terendah dalam tempoh 18 tahun sejak 1997. Selain itu, jika tidak ditangani secara bijaksana, keyakinan pelabur akan terus terhakis. Tambahan pula, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz pernah member amaran jika tidak dapat diselesaikan maka akan member masalah kepada ekonomi.

Sekali lagi dalam ucapannya di dalam Hansard Parlimen bertarikh 28 Oktober 1980, Tun Syed Nasir berkata demikian, “Bagi seorang rakyat biasa jika ada tuduhan amalan curang seumpama ini bolehlah rakyat itu mengadu kepada polis atau kepada pihak BSN (Biro Siasatan Negara) (kini SPRM) tetapi Ahli-ahli Yang Berhormat ini adalah Ahli Parlimen dan Dewan yang mulia ini dianggotai oleh Ahli-ahli yang dipilih oleh rakyat di dalam pilihanraya yang sah, Pilihan Raya Umum.

Maka pada pendapat saya di sinilah forum yang sebaik-baiknya dan forum yang selayaknya untuk membincangkan dan memberi kenyataan dan keterangan di dalam sesuatu perkara yang penting seperti ini.” Jelas di sini menunjukkan adalah menjadi tanggungjawab Dewan Rakyat membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan kepentingan negara dan ekonomi.

Kesimpulannya, berdasarkan penjelasan yang diberikan di atas, berlandaskan pendirian Parlimen terdahulu, maka adalah wajar soalan-soalan isu derma RM 2.6 billion dijawab dalam Dewan Rakyat.
Kegagalan menjawab soalan ini akan hanya menyebabkan usaha mereformasikan institusi Parlimen akan hanya tinggal slogan semata-mata. Ubat itu pahit tetapi penting untuk menyembuhkan penyakit.

* Shamsul Iskandar Mohd Akin merupakan Ahli Parlimen Bukit Katil dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat

Tiada ulasan: