Jumaat, 11 Mac 2016

Ikatan nafi bersama PAS bentuk gabungan baru pembangkang

ANTARAPOS.COM


Post Pic


PETALING JAYA: Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menafikan hari ini parti itu akan menyertai PAS untuk menubuhkan satu gabungan baru pembangkang.

“Tidak, perkara itu tidak benar. Ya, kami rapat dengan PAS tetapi tidak wujud perhubungan rasmi di antara kami,” kata beliau kepada The Star Online.

Abdul Kadir yang juga bekas menteri Kabinet juga menafikan berjumpa dengan pemimpin PAS hari ini untuk membentuk satu gabungan baru.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu parti Islam itu akan menubuh sebuah blok pembangkang pelbagai kaum yang baru.

Bercakap kepada wartawan di Parlimen hari ini, beliau berkata, PAS akan bekerjasama dengan parti yang berkongsi matlamat dengannya dan satu majlis tandatangan gabungan itu akan diadakan di ibupejabatnya di Kuala Lumpur pada 16 Mac.

Takiyuddin mengesahkan Pakatan Harapan tidak akan terbabit dalam gabungan baru itu.

Ikatan dilancarkan pada Mei tahun lalu dengan logo Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj pada benderanya.

Abdul Kadir berkata, parti pelbagai kaum itu tidak bersandar dengan kerajaan atau pembangkang tetapi mencerminkan ‘semangat’ pengasas negara.

Bagaimanapun, sumber rapat dengan Ikatan berkata, parti itu berkemungkinan besar menyertai PAS dalam gabungan baru berkenaan.

Dipercayai, satu perjumpaan diadakan sebelum ini di antara wakil PAS dan Ikatan bagi membincangkan pembentukan blok berkenaan.

Tiada ulasan: