Sabtu, 19 Mac 2016

IKATAN hanya cakap tangguh, bukan tolak hudud - Abdul Kadir

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menjelaskan beliau tidak bermaksud menolak agenda hudud yang dibawa PAS tetapi pelaksanaan itu boleh ditangguhkan jika membawa lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan.
 
Namun tegas Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), bukanlah bermaksud menentang hukuman hudud dilaksanakan di Malaysia.
 
"Saya sendiri tak boleh tolak hudud, tapi setahu saya, saya difahamkan juga bahawa dalam Islam juga jika terdapat keadaan tertentu di mana (jika) pelaksanaannya membawa lebih mudarat daripada kebaikan, maka pelaksanaannya boleh ditunda.
 
"Jadi kita serah sahaja kepada rakyat untuk menentukan, itu sahaja yang saya cakap.
 
"Tapi yang sebenarnya PAS dengan IKATAN tidak pernah bincang pun soal hudud.
 
"Cuma soalan itu bangkit waktu sidang media oleh seseorang daripada kalangan wartawan," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi tadi.
 
Malah beliau tidak menolak undang-undang untuk memperkasakan Mahkamah Syariah tetapi adalah lebih wajar ia dikaji secara solid sebelum dilaksanakan agar tidak menimbulkan masalah dikemudian hari.
 
"Segala benda yang hendak memperkasakan Mahkamah Syariah, saya setuju. PAS pun setuju, hendak memperkasakan Mahkamah Syariah, (tapi) hendak memberikan lebih sedikit atau sebahagiannya, saya tidak tahu (lebih mendalam mengenai Akta 355 tetapi saya sokong)," katanya.
 
Beliau yang merupakan bekas Menteri Penerangan turut menasihatkan mana-mana pihak jangan terus menekan pakatan itu bersabit isu hudud, kerana ujarnya banyak lagi masalah lain yang perlu diberi perhatian.
 
"Nasihat saya dapatkan dulu berita yang sahih, sekarang ini ramai yang cemburu bila PAS hendak buat satu blok baru. Jadi ramai yang cemburu dan memang ramai yang hendak memburuk-burukkan PAS, memburuk-burukkan Ikatan, hendak melaga-lagakan Ikatan dengan PAS. 
 
"Dia main (soal hudud) tapi kita tak kisahlah, dia boleh mainlah (banyak pihak mainkan hudud) sedangkan dalam hidup ini ada berjuta lagi masalah. Mengapa kita hendak kisah pasal hudud sahaja? Dalam Islam, kita ada berbagai-bagai perkara lain, kita perlu juga perjuangkan, takkan hudud sahaja 'the end of the world'," katanya lagi.
 
Terdahulu sebuah portal melaporkan IKATAN dan PAS sepakat bahawa hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia.
 
Antarapos melaporkan PAS tetap dengan pendirian untuk terus memperjuangkan agenda hukuman hudud walaupun baru membentuk kerjasama dengan IKATAN.
 
PAS turut menjelaskan kenyataan Abdul Kadir itu, bukan bermaksud untuk tidak meneruskan agenda parti Islam itu tetapi ia perlu melalui proses kelulusan di Parlimen sebelum dikuatkuasakan.  


Tiada ulasan: