Isnin, 14 Mac 2016

Hudud: Sebat penzina dan peminum arak di khalayak umum

Astro Awani
 
Hudud: Sebat penzina dan peminum arak di khalayak umum
HASSAN: Kerajaan negeri perlu buat cadangan jika tidak bercanggah dengan undang-undang Persekutuan dan Perlembagaan. - Gambar hiasan
 
 
KOTA BHARU: Untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan, usaha ke arah itu perlu dipraktikkan dengan hukuman sebat ke atas pesalah zina dan peminum arak.

Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Datuk Hassan Mahmud, berpandangan hukuman tersebut sewajarnya dilaksanakan di khalayak umum termasuk di masjid atau tempat awam.

Sebelum ini mengikut Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Kelantan 2002, mengikut Seksyen 125 memperuntukan hukuman enam sebatan rotan ke atas kesalahan zina dan peminum arak di dalam penjara.

Menurut Hassan, pelaksanaan hukum hudud perlu diperkembangkan lagi sekiranya tidak bercanggah dengan perlembagaan negeri itu.

“Undang-undang (sebat) itu sudah ada kepada zina jika cukup syarat, cuma kita minta kerajaan negeri buat cadangan jika tidak bercanggah dengan undang-undang Persekutuan dan Perlembagaan.

“Bawa (pesalah) keluar, sekarang ini buat di penjara. Tujuannya adalah supaya orang yang tengok (pelaksanaaan hukum sebat) ini berasa ngeri dan takut. Setakat mampu kita minta buat di luar penjara,” ujar Hassan.

Hassan menjelaskan, hukuman sebat yang dikenakan ke atas pesalah zina dan minum arak yang dilakukan di dalam penjara sewajarnya dilaksanakan di khalayak umum.
Tambahnya, pelaksanaan tersebut dilakukan di khalayak umum untuk memberi kesedaran menjalankan hukum Allah kepada orang Islam dan bukan terhadap orang bukan Islam.

Katanya, walaupun hudud belum lagi terlaksana, namum kerajaan negeri perlu berusaha untuk mempraktikkan hukuman seumpama itu mengikut bidang kuasa Jabatan Kehakiman Syariah Kelantan yang turut memperuntukkan hukuman sebat ke atas kesalahan tersebut. 
 
 

Tiada ulasan: