Rabu, 23 Mac 2016

Hilang giliran tunai haji kerana percaya fitnah – Jamil Khir

 
Ia disebabkan mereka terlalu percaya kepada fitnah yang disebarkan melalui media sosial.





PETALING JAYA: Seramai 33 pendeposit Tabung Haji (TH) yang membuat keputusan menarik diri daripada senarai penyimpan dipadam nama mereka daripada senarai penggiliran menunaikan haji.

Perkara itu didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang memberitahu, kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa kerana mereka berhak mengeluarkan simpanan di TH.

“Tindakan drastik pendeposit ini disebabkan mereka terlalu percaya kepada fitnah yang disebarkan melalui media sosial.

“Walaupun Tabung Haji dan kementerian saya cuba menyakinkan mereka supaya tidak mengambil tindakan drastik keluar dari senarai itu, mereka tetap dengan keputusan.

“Apa yang saya hendak beritahu mereka, namanya tidak lagi ada dalam senarai penggiliran menunaikan fardu haji di Tanah Suci Mekah,” katanya dalam Program Bicara Persada ke-29 Anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, agak mengecewakan apabila empat daripada pendeposit malang itu hanya perlu menunggu empat tahun sahaja lagi untuk tiba gilirannya menunaikan haji.

“Pihak Tabung Haji sudah memberi nasihat kepada mereka supaya tidak mudah terpengaruh atau mempercayai fitnah yang disebarkan melalui media sosial, lebih lagi mengenai agensi ini, tetapi mereka tetap bertegas dengan keputusan menarik balik semua deposit yang ada.

“Mereka memberi alasan sudah hilang keyakinan terhadap Tabung Haji. Ada yang mohon hendak keluarkan semua simpanan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya kini sedang menumpukan usaha untuk memastikan lebih 8.4 juta pendeposit meneruskan simpanan masing-masing bagi tujuan menunaikan fardu haji.

Sementara itu, mengulas mengenai perkara berkaitan, Jamil Khir berkata, tempoh menunggu bagi masyarakat Islam di negara ini untuk mengerjakan rukun Islam ke lima itu kini mencecah sehingga 82 tahun berbanding sebelum ini iaitu 72 tahun.

Tiada ulasan: