Ahad, 6 Mac 2016

Harap Datuk Seri Vida pertimbang semula bina hotel

Abdul Fattah Mahmood
Abdul Fattah Mahmood


KOTA BHARU – Kerajaan negeri berharap Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Dr Hazmiza Othman atau Datuk Seri Vida menimbang semula cadangan untuk membina hotel di kawasan pembangunan stadium  di Bukit Merbau, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, banyak faktor perlu diteliti berkaitan lokasi asal cadangan pembinaan hotel di pekarangan Stadium Sultan Muhamad IV di sini, yang dikemukakan oleh ahli perniagaan terkenal itu.

Menurutnya, cadangan tersebut perlu dibawa ke dalam mesyuarat jawatankuasa Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob terlebih dahulu dan ia perlu menitik beratkan beberapa faktor termasuk kesesakan lalu lintas dan sebagainya.

"Cuma kita harap dia (Datuk Seri Vida) menimbang tawaran saya untuk membangunkan tanah kerajaan seluas 109.3 hektar di Bukit Merbau. Saya juga sedang berbincang dengan dua syarikat lain untuk membangunkan stadium serta kawasan sekitarnya.

"Tanah yang diperlukan untuk pembinaan stadium adalah seluas 20.2 hingga 28.3 hektar sahaja dan baki 80.9 hektar boleh digunakan untuk pembangunan sekitar," katanya ketika ditemui di JKR 10, di sini, semalam.

Tambahnya, kerajaan negeri berbesar hati andainya pengasas syarikat Vida Beauty Sdn Bhd itu bersetuju membangunkan kawasan berkenaan terutamanya membina kilang kosmetik dan pakaian sukan.

"Ini masa yang sangat sesuai kerana dua syarikat terbabit juga tertarik untuk membangunkan kawasan berkenaan. Kita mahu bangunkan Bukit Merbau sebagai bandar sukan.

"Sebagaimana yang saya sebut dalam sidang Dun baru-baru ini, pembangunan lebuh raya sedang berjalan dan dalam masa tiga tahun, perjalanan ke Bukit Merbau dari Kota Bharu akan jadi dekat," katanya.


Tiada ulasan: