Jumaat, 4 Mac 2016

Guru selamatkan keputusan SPM dari terbakar

Guru selamatkan keputusan SPM dari terbakar
Anggota bomba memadam api kereta milik guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang 3.
 
 


SEREMBAN – Tindakan pantas seorang guru sekolah berjaya menyelamatkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari terbakar dalam satu kejadian kereta terbakar di Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang 3, Taman Forest Heights, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, kereta jenis Ford Kugar milik Guru Penolong Kanan 1, Norasyikin Jantan, 54, itu gagal diselamatkan apabila terbakar 100 peratus.

Norasyikin berkata, dia menyedari enjin keretanya keluar asap ketika dalam perjalanan pulang ke sekolah selepas mengambil keputusan SPM di Pejabat Pendidikan Daerah Seremban.

“Ketika hampir tiba di sekolah, saya berasa enjin kereta terlalu panas dan kelihatan asap keluar dari enjin kereta.

“Saya segera masuk ke dalam sekolah dan mencari kawasan letak kereta yang selamat kerana asap semakin banyak keluar dari enjin,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, dia sempat menyelamatkan keputusan SPM dan beg tangan sejurus melihat api keluar dari bahagian enjin kereta.

“Saya segera keluar kereta dan sempat capai beg keputusan SPM sekolah dan beg tangan saya manakala dokumen kerja gagal diselamatkan.

“Saya berasa takut sangat melihat api, mujur pintu kereta boleh dibuka dan saya segera capai apa yang penting. Alhamdulillah, saya tidak mengalami sebarang kecederaan,”katanya

Tiada ulasan: