Jumaat, 18 Mac 2016

Guan Eng mahu siasatan kes rasuah ahli politik pembangkang disegerakan

ZAINULFAQAR YAACOB


Maimunah menunjukkan poster program Festival Pinggiran Butterworth Kedua 2016 BFF kepada Guan Eng dan Joe Sidek.Maimunah menunjukkan poster program Festival Pinggiran Butterworth Kedua 2016 BFF kepada Guan Eng dan Joe Sidek.




Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat seorang ahli politik pembangkang Pulau Pinang, yang dikaitkan dengan amalan rasuah semasa memimpin Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), 18 tahun lalu.

Menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, MPSP sejak 18 Disember lalu telahpun membuat aduan polis dan SPRM mengenai individu terbabit.

"Terbaru kita lihat SPRM Kedah sekurang-kurangnya telah ambil tindakan ke atas dua pemimpin (muda) Umno (Kawasan Parlimen) Permatang Pauh yang terlibat rasuah, maka kita harap SPRM Pulau Pinang pun boleh bersama-sama ambil tindakan yang serus.

"Sekarang, (individu terbabit) masih menjadi ahli politik pembangkang yang sangat aktif, kita (kerajaan negeri) minta SPRM boleh buat siasatan penuh," tegas Guan Eng kepada pemberita di Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Bandar Perda, semalam.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama individu yang juga bekas Ahli Majlis MPSP tahun 1994/1995.

Tahun lalu, MPSP terselamat daripada membayar pampasan RM244 juta (RM243,630,810) yang dituntut oleh plaintif, NEG Engineering Sdn. Bhd..

Di akhir perbicaraan kes penarafan loji kumbahan di Sungai Nyior dan Mak Mandin pada 1997 itu, plaintif diarah membayar kos lepas RM50,000 kepada MPSP.

Permohonan MPSP untuk membatalkan saman plaintif kerana kegagalan meneruskan tindakan (want of prosecution) turut ditolak dengan kos RM5,000 oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Colin Lawrence Sequerah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, 28 Januari lalu.

Pun begitu, tingkah laku seorang bekas ahli majlis yang dikaitkan dengan amalan rasuah terdedah dalam kamar perbicaraan, pada 14 dan 15 Disember tahun lepas.

Susulan itu, MPSP membuat aduan polis dan SPRM demi membantu kedua-dua agensi persekutuan tersebut membuka kertas siasatan.

Pada sidang media sama, Yang di-Pertua MPSP Dato' Maimunah Mohd. Sharif berkata, keputusan Mahkamah Tinggi menolak tuntutan saman NEG Engineering Sdn. Bhd. menyelamatkan MPSP daripada risiko bankrap.

Sementara itu pada sidang media yang sama, Guan Eng mengumumkan penganjuran Festival Pinggiran Butterworth Kedua 2016 (BFF) yang dijadualkan pada 13 dan 14 Ogos ini bertempat di perkarangan Jalan Jeti Lama.

Beliau berharap festival itu bakal semeriah Adelaide Fringe di Australia, yang dikenali sebagai festival kedua terbesar dunia dengan lebih 900 acara.

BFF mulai dianjurkan pada tahun lalu, manakala Adelaide Fringe pula sejak 1960.

"Ini, adalah usaha bersama Kerajaan Negeri dan MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai) untuk membangunkan kawasan Seberang Perai sebagai medan seni dan budaya," jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Selain Maimunah, sidang media promosi BFF 2016 itu turut disertai Pengarah Festival Joe Sidek serta ahli-ahli Majlis MPSP.

Maimunah memberitahu BFF merupakan festival pinggiran yang pertama dianjurkan di Malaysia dan tiada seumpama ini di negeri-negeri lain.

Manakala, Joe Sidek pula berharap promosi media dapat menggandakan jumlah pengunjung ke BFF 2016 nanti, berbanding kira-kira 30,000 orang ke festival kali pertama pada tahun lepas.

Tahun lalu, BFF memaparkan keunikan persembahan kategori jalanan, penerangan, kepelbagaian makanan dan acara permainan dari tempatan dan antarabangsa, selama dua hari.

Tiada ulasan: