Rabu, 2 Mac 2016

Gerakan baharu: Pas tunggu Majlis Syura

Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh
Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM


SHAH ALAM – Pas akan memutuskan sama ada mahu menyertai atau berkecuali dalam gerakan baharu untuk menyelamatkan Malaysia selepas Majlis Syura Ulama (MSU) bermesyuarat dalam masa terdekat.

Setiausahanya, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, pada masa ini Pas masih belum menyatakan pendirian berhubung penubuhan gerakan baharu yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita (Pas) belum buat keputusan lagi, perkara ini (bidang kuasa) Majlis Syura, (akan mesyuarat) bulan Mac ini, dalam masa terdekat, Pas akan maklum (gerakan baharu) dalam mesyuarat kami nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas pendirian Pakatan Harapan semalam menyambut baik hasrat Mahathir untuk menubuhkan gerakan baharu bersama parti pembangkang dan semua pihak berkepentingan dalam usaha untuk menyelamatkan Malaysia.

Sebelum itu, Dr Mahathir mengadakan perjumpaan tertutup dengan beberapa pemimpin Amanah dan PKR di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, Ahad lalu.

Antara yang hadir ialah Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli; Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud; Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Mujahid Yusof Rawa; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Tamrin Ghafar.

Ditanya mengenai keperluan Pas untuk menemui Mahathir selepas pimpinan Amanah dan PKR mengintai peluang bagi menjalinkan kerjasama, Nik Muhammad Zawawi bagaimanapun berkata pihaknya belum ada keperluan untuk berbuat demikian.

“Kita tak jumpa lagi (Mahathir), tak apalah, PKR pun belum berbincang dengan Pas lagi hal ini,” katanya lagi.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata satu pertemuan akan diadakan bersama pimpinan Pakatan Harapan, parti politik lain, badan bukan kerajaan (NGO) serta beberapa individu bagi membincangkan konsensus tersebut

Tiada ulasan: