Khamis, 17 Mac 2016

 
Orang Asal perlu diberi tempat sewajarnya dalam negara ini kerana mereka penduduk yang pertama sekali mendiami bumi Malaysia.
 
 
 
Orang-Asli-Putrajaya


Isu lebih 30 keluarga Orang Asal daripada suku Temuan di Dengkil yang dinafikan hak untuk menikmati kemudahan asas amat memilu hati dan menyedihkan orang ramai.

Rumah Orang Asal yang tiada elektrik dan air bersih ini tidak jauh daripada Putrajaya, iaitu Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia yang memang diketahui serba mewah dan moden.

Orang Asal ini jika mahu mandi, penduduknya akan mendapatkan air dari bukit. Jika mahu buang air pula, mereka akan ke tandas yang hanya berdinding kanvas dan proses nyahtinja dilakukan di tepi anak sungai sahaja di kampung itu.


Bagi yang mahu menikmati elektrik pula, generator dipasang. Terpaksalah berbelanja wang gaji hasil kerja buruh untuk membeli minyak bagi menghidupkan generator elektrik. Bekalan elektrik langsung tak masuk ke rumah mereka.

Kisah ini berlaku di kampung berkenaan yang jaraknya tidak sampai lima kilometer dari Putrajaya, di mana pada masa sama kejiranan Putrajaya ada semua kemudahan asas.

Lebih daripada itu, Putrajaya ada pusat kejiranan, sekolah yang serba lengkap, rumah yang dikawal polis, kutipan sampah berjadual dan teratur, perparitan yang terurus dan ada sahaja tukang kebun yang mungkin dia adalah Orang Asal Dengkil.

Kita mungkin boleh bertoleransi jika Orang Asal ini tiada kemudahan elektrik dan air bersih kerana hidup di pedalaman, tetapi Orang Asal ini tinggal dekat sangat dengan Putrajaya.

Kegilaan apakah ini? Orang Asal di Dengkil, Sepang menangis setiap kali melihat bangunan pencakar langit di Putrajaya yang memang jelas kelihatan bercahaya dari rumah mereka.

Bayangkan perasaan melihat rumah kita bergelap tiada elektrik dan air, tetapi dari pintu rumah yang gelap itu jugalah kita nampak cahaya lampu menyinari Istana Melawati dan Seri Perdana di Presint 10.

Orang Asal (Melayu Proto) ini merintih akibat dasar saudara mereka iaitu Orang Melayu (Melayu Deutro) yang meminggirkan mereka daripada arus pembangunan.

Sudahlah tanah diambil orang swasta. Yang menandatangani dokumen dan memindahkan mereka adalah Orang Melayu juga. Orang Melayu bukan orang lain. Mereka saudara dan berasal daripada perut moyang yang sama.

Kegilaan ini harus dihentikan dan Orang Asal perlu diberi tempat sewajarnya dalam negara ini. Jangan hanya kerana mereka memilih untuk hidup dan tinggal bercucuk tanam dan mencari hasil hutan, hak mereka dinafi dan dipandang enteng.

Pada kita, hikayat Seri Perdana Putrajaya dan Rumah Orang Asal Dengkil ini adalah krisis kemanusiaan zaman moden ketika Persekutuan Malaysia mahu menjadi maju dan berketamadunan.

Orang Asal di Sepang mewakili kisah kelompok rakyat Duli Yang Maha Mulia Raja-raja yang sebenarnya tercicir dan sewajarnya mana-mana kerajaan dilantik oleh Duli Yang Maha Mulia Raja-raja ambil peduli dan bela akan mereka ini.

Masyarakat berbilang kaum di negara ini juga wajar peka dan jangan melayan mereka seperti rakyat kelas bawahan. Mereka saudara kita, lebih-lebih lagi mereka penduduk yang pertama sekali di bumi Malaysia.

Tiada ulasan: