Selasa, 15 Mac 2016

Dua wartawan Australia tidak didakwa, akan dihantar pulang segera

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
KUCHING: Dua wartawan Australia yang ditahan ekoran cuba mendekati Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak secara agresif, tidak akan didakwa dan akan dihantar pulang ke negara asal dengan segera. 
 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dev Kumar M.M Sree Shunmugam dalam satu kenyataan berkata, kertas siasatan ke atas Eroglu Levent dan Linton Joshua Besser, telah dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 14 Mac yang memutuskan tiada sebarang pertuduhan dibuat.
 
"Kertas siasatan polis telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 14 Mac (Isnin). Keesokan harinya polis menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya bahawa tiada pertuduhan akan difailkan terhadap kedua-duanya," menurut kenyataan beliau. 
 
Tambahnya, kedua wartawan dari Australian Broadcasting Corporation itu akan dihantar pulang ke negara asal seperti yang tertakluk dalam Seksyen 18 (3) (h), Akta Imigresen 1959/63.
 
Dua wartawan itu pada Sabtu lalu ditahan polis selepas melepasi halangan keselamatan ketika cuba bertanyakan soalan kepada Najib yang ketika itu dalam lawatan rasmi ke Kampung Haji Baki di Kuching.
 
Kedua mereka ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
 
 

Tiada ulasan: