Rabu, 16 Mac 2016

Dua wartawan Australia boleh kembali ke Malaysia

SINAR HARIAN


Nur Jazlan Mohamed


KUALA LUMPUR - Dua wartawan Australia yang dihantar pulang selepas ditahan kerana didakwa melanggar garisan keselamatan semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Sarawak Ahad lepas, bebas untuk kembali ke Malaysia sebagai pelancong.  

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kedua-dua mereka, yang mengaku sebagai wartawan dari Australia Broadcasting Corporation, mesti mematuhi undang-undang Malaysia dan tidak melanggar mana-mana peraturan.

"Jika mereka dihantar pulang bermakna mereka telah melakukan sesuatu kesalahan. Apabila mereka kembali, kita akan lihat nanti.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tindakan menahan dua wartawan Australia wajar]

"Sekiranya mereka kembali sebagai pelancong, tidak ada masalah, tetapi akan ada masalah sekiranya mereka kembali dan melanggar mana-mana undang-undang," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Nur Jazlan berkata, penahanan dan pengusiran wartawan tersebut, dikenali sebagai Eroglu Levent dan Linto Joshua Besser, tidak bermakna negara ini tidak mengamalkan kebebasan akhbar.

"Kesemua kamu yang menemuramah saya sekarang bermakna ada kebebasan media. 

"Di sinilah wartawan asing tidak boleh sekadar masuk ke negara ini dan menganggap mereka boleh membuat kerja mereka tanpa melihat peraturan yang ditetapkan...khususnya dalam soal imigresen," katanya.

Wartawan Australia berkenaan dihantar pulang hari ini selepas pihak berkuasa memutuskan untuk tidak mendakwa mereka.

Mereka didakwa melanggar garisan keselamatan semasa lawatan Najib ke sebuah masjid di Sarawak pada Ahad. - Bernama


Tiada ulasan: