Jumaat, 25 Mac 2016

Dr Vida diberi amaran patuhi peraturan di kawasan teknikal

BERNAMA


Terdapat beberapa peraturan perlu dipatuhi Dr Vida ketika berada di bangku simpanan, termasuk memakai pakaian berbeza daripada pemain yang beraksi di padang.Terdapat beberapa peraturan perlu dipatuhi Dr Vida ketika berada di bangku simpanan, termasuk memakai pakaian berbeza daripada pemain yang beraksi di padang.

Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Datuk Seri Dr Hasmiza Othman diberi amaran agar mematuhi peraturan ketika berada di kawasan teknikal bagi menyaksikan perlawanan membabitkan pasukan The Red Warriors.

Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) Kevin Ramalingam berkata terdapat beberapa peraturan perlu dipatuhi ketika berada di bangku simpanan, termasuk memakai pakaian berbeza daripada pemain yang beraksi di padang.

"Beliau perlu mematuhi peraturan di kawasan teknikal seperti elakkan menggunakan telefon bimbit, pakaian tidak boleh sama dengan yang dipakai oleh pemain di padang, itu sebab pemain yang berada di bangku simpanan memakai bib agar tidak sama dengan rakan sepasukan yang sedang beraksi.

"Selain itu, beliau tidak boleh meninggalkan kawasan teknikal untuk bertemu dengan penyokong dan perkara-perkara seumpama itu. Ia adalah peraturan biasa dalam bola sepak yang perlu dipatuhi," katanya kepada Bernama.

Hasmiza atau lebih dikenali Dr Vida, dikatakan berselfie bersama pemain di kawasan teknikal.
Kevin menegaskan bahawa Hasmiza mungkin tidak dibenarkan memasuki kawasan teknikal jika terus melanggar peraturan-peraturan tersebut.

"Jika peraturan-peraturan itu tidak dipatuhi, maka kami tiada pilihan bagi memastikan tiada sesiapa melanggar peraturan. Kami memang inginkan sesuatu yang menghiburkan tetapi tidaklah sampai ke tahap ini, yang menjejaskan peraturan," katanya.

Kevin berkata Dr Vida dibenarkan memasuki kawasan teknikal menerusi pendaftaran oleh Kafa sebagai pegawai pasukan, dan FMLLP selaku entiti swasta yang menguruskan Liga Malaysia (Liga M) sejak awal musim ini, akur berdasarkan peraturan itu

Tiada ulasan: