Rabu, 23 Mac 2016

Dr Mahathir berhak saman Najib – Ku Li

Sesiapa pun boleh saman menteri, pengawai kerajaan kalau mereka tak menjalankan tanggungjawab dengan sempurna dan terlibat dengan penyelewengan.


kuli_najib_mahathir_600


KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berhak menyaman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung derma RM2.6 bilion.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata Dr Mahthir sebagai rakyat yang membayar cukai berhak melakukan saman tersebut.

“Rakyat asalkan membayar cukai berhak; ada locus standi (hak untuk mengambil tindakan di mahkamah).
“Sesiapa pun boleh saman menteri, pengawai kerajaan kalau mereka tak menjalankan tanggungjawab dengan sempurna, macam (contohnya) salahguna kuasa,” katanya kepada pemberita di ruang legar Parlimen hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir bersama dua yang lain memfailkan saman terhadap Datuk Seri Najib Razak kerana didakwa telah menyalahgunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri, Pengerusi BN dan Presiden UMNO untuk mengganggu siasatan keatas 1MDB dan syarikat-syarikat berkaitan, RM42 juta daripada SRC International dan derma politik RM2.6 bilion.

Saman itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Selain Mahathir, plaintif lain adalah bekas ahli Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin dan bekas Naib Ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang itu turut mengulas isu pembelian banglo oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Beliau, mengulangi saranan Presiden Badan Peguam Malaysia, Steven Thiru dan peguam, S Ambiga kepada pemimpin besar DAP itu supaya bercuti sementara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjalankan siasatan.

“Biasanya bila ada kes salahguna kuasa atau rasuah, sepatutnya dia (Guan Eng) bercutilah (dan) beri laluan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dengan baik apa yang telah berlaku,” katanya.



Tiada ulasan: