Sabtu, 19 Mac 2016

Dr M, lepas 'bercerai' jangan campur urusan Umno

MALAYSIAKINI




Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa meminta Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak mencampuri urusan parti tersebut selepas 'bercerai' dengan Umno.

Beliau berkata, selepas meninggalkan parti berkenaan secara rela, negarawan itu tidak sepatutnya menggesa agar ahli Umno peringkat cawangan mengusulkan undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri dan presiden Umno, lapor akhbar Berita Harian.

"Seeloknya kita minta Dr Mahathir tidak lagi campur urusan Umno, apatah lagi bila dah 'bercerai'. Tidak wajar beliau masih terbabit dan buat sibuk dengan urusan Umno apabila sudah keluar parti.

"Namun saya faham Dr Mahathir merajuk dan hatinya masih pada Umno. Jadi kita maafkanlah Dr Mahathir," katanya.

Semalam, dalam tulisan bertajuk 'Surat kepada ahli-ahli cawangan Umno' yang dimuat naik di Facebook Mukhriz Mahathir FC, Dr Mahathir menggesa cawangan-cawangan Umno mengemukakan usul tidak percaya terhadap Najib sebagai presiden parti dan perdana menteri dalam mesyuarat tahunan masing-masing.

Beliau juga menggesa akar umbi Umno mengusulkan supaya pemilihan parti itu tidak ditangguhkan, sebaliknya dilaksanakan seperti sepatutnya pada tahun ini.

Gesaan itu ditujukan kepada ahli Umno yang "sayang kepada perjuangan asal Umno" supaya membantu beliau "menyelamatkan parti dan negara.


Tiada ulasan: