Selasa, 22 Mac 2016

Diasak Anwar, Nalla dakwa media yang putar belit

Hafiz Yatim





Tanpa diduga, Presiden Parti Bersatu India Malaysia Senator Datuk S Nallakaruppan hari ini menafikan bahawa beliau menuduh bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima RM60 juta dari syarikat perjudian Magnum Corporation Bhd.

Nallakaruppan yang berada di kandang saksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, berkata Mingguan Malaysia dan Sinar Harian memutarbelitkan kenyataannya.

"Saya tidak buat kenyataan itu ia diputarbelitkan," katanya pada perbicaraan yang penuh sesak hari ini.
Berikut pendedahan itu, Anwar yang mewakili dirinya sendiri dalam saman RM100 juta terhadap Nallakaruppan meminta penangguhan sementara.

Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab berkata sekirannya Nallakaruppan berkata demikian sebelum ini, maka tidak ada keperluan untuk meneruskan perbicaraan.

"Saya akan bincang dengan peguam defendan (Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah)," katanya.

Terdahulu, ketika disoal Anwar, Nallakaruppan berkata 30 anggota polis menyerbu rumahnya pada 31 Julai, 1998 dan merampas pelbagai barangan.

Anwar secara berseloroh menyoal mengapa ini berlaku sedangkan "awak bukan pengganas IS”.

Nallakaruppan berkata polis mahu mencari bukti bahawa beliau telah meminta maklumat daripada Timbalan Perdana Menteri (Anwar) untuk diberikan kepada kerajaan asing.

Anwar: Adakah dakwaan ini benar?

Nallakaruppan: Tidak, ini tak benar kerana saya tidak mahu kaitkan rakan saya (Anwar) kerana saya juga diugut untuk membuat pengakuan ini atau saya akan diletakkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Untuk ini, saya ditahan selama 38 hari.

Anwar: Apa yang berlaku sepanjang 38 hari tahanan?

Nallakaruppan: Polis cuba paksa saya untuk tandatangani kenyataan kosong dan mahu saya mengakui bahawa saya bertindak untuk negara asing dan Anwar menyediakan saya dengan maklumat. Anwar tidak memberikan apa-apa maklumat dan saya enggan buat kenyataan palsu atau menandatangani dokumen kosong itu.

Anwar kemudiannya mencelah "awak seorang yang sangat berani" dan ini diikuti gelak ketawa di dalam bilik mahkamah.

Anwar: Adakah awak sedar ada satu afidavit oleh SAC II tan Sri Musa Hassan yang kemudiannya menjadi ketua polis negara yang mendakwa bahawa awak (Nallakaruppan) memberi saya RM60 juta.

Nallakaruppan: Saya tidak tahu. Mereka ugut saya dengan ISA, (tetapi) saya tak berganjak untuk kaitkan Anwar.

Tiada ulasan: