Khamis, 31 Mac 2016

Dewan Keadilan NS bincangkan Undang Johol esok

 
Mesyuarat peringkat tertinggi bagi Raja dan Pembesar Memerintah di Negeri Sembilan akan dipengerusikan oleh Tuanku Muhriz.


undang-luak-johor


SEREMBAN: Dewan Keadilan dan Undang akan mengadakan mesyuarat esok bagi membincangkan kedudukan Datuk Mohd Jan Abdul Ghani yang dilucutkan jawatan sebagai Undang Johol.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Buapak Yang Enam, Datuk Nenggarang, Datuk Hasanuddin Ahmad kepada FMT, di sini, semalam.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa mesyuarat peringkat tertinggi Raja dan Pembesar Memerintah di Negeri Sembilan itu akan dipengerusikan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

“Ya, mesyuarat akan diadakan Jumaat ini bagi membincangkan kedudukan Mohd Jan. Saya dimaklumkan oleh Dewan mengenai perkara ini.

“Kedudukan Mohd Jan sudah pun dimuktamadkan di peringkat luak, di mana kami sebulat suara memecatnya atas 13 salah laku, termasuk melanggar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” katanya.

Difahamkan, anggota Dewan Keadilan dan Undang ketika ini ialah Tuanku Muhriz selaku pengerusi, Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Rembau, Pemangku Undang Luak Jelebu, Tunku Besar Tampin, Tunku Besar Seri Menanti dan Menteri Besar selaku ex officio.

Ahad lalu, Mohd Jan dipecat selaku Undang Luak Johol menerusi pengisytiharan Datuk Jenang, Datuk Zakaria Datuk Zakaria Mohammad, selepas kebulatan Buapak Yang Enam.

Serentak dengan itu, Timbalan Undang Johol, Datuk Baginda Tan Mas, Datuk Muhammad Abdullah dipilih sebagai Undang Luak Johol ke-15, berkuat kuasa serta merta.

Undang Luak Johol adalah ketua negeri bersama (co-ruler) bagi Negeri Sembilan yang mempunyai kuasa persetujuan berhubung penangguhan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), pelantikan Menteri Besar, hal ehwal agama Islam dan adat Melayu, kedudukan tanah adat dan rizab Melayu, pengurniaan mana-mana darjah kebesaran negeri serta kedudukan istimewa Bumiputera di negeri berkenaan.

Undang Johol juga berkuasa memilih dan memecat Yang di-Pertuan Besar mengikut adat Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Tiada ulasan: