Isnin, 7 Mac 2016

Deklarasi Rakyat beri kesan besar pada PRU-14, kata Zaid

MALAYSIAKINI




Walaupun ‘Deklarasi Rakyat’ menimbulkan pelbagai reaksi, namun bagi bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim beliau yakin bahawa ia akan memberi "kesan besar" pada pilihan raya umum akan datang.

Mengulas majlis yang diadakan di Kuala Lumpur, Jumaat lalu, Zaid yang juga menadatangani deklarasi untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata ia adalah “permulaan baik” untuk "perjalanan yang panjang dan sukar."

"Ini satu sejarah dan akan mempunyai kesan yang besar pada pilihan raya akan datang," katanya dalam tulisan terbaru dalam blog hari ini.

Bekas menteri Umno itu berkata, ini adalah masa untuk membuat persediaan bagi "revolusi mental" rakyat.

"Rakyat mesti sedar bahawa kepentingan mereka hanya akan terjamin oleh pemimpin yang bersih. Sudah tiba masanyua untuk saat kebenaran," katanya.

Menurut Zaid walaupun deklarasi itu dilihat sebagai "terlalu mudah dan tidak benar", Zaid berkata, ia menandakan "masa bersejarah”.

"Ini satu deklarasi bagi rakyat untuk menolak pemimpin rasuah. Ini tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Kematian bagi PAS

Beliau berkata deklarasi itu juga menunjukkan kesediaan rakyat untuk bersatu, walaupun terdapat perbezaan politik di kalangan mereka.

"Kerjasama ini juga menjadi bersejarah kerana ia menandakan bermulanya kematian bagi PAS. Ahli-ahli PAS tidak akan memaafkan presiden mereka (Datuk Seri Abdul) Hadi Awang selepas pilihan raya umum akan datang.

"Apabila Mohamad Sabu, Husam Musa dan pemimpin Amanah lain menjelajah ke bandar-bandar dan kampung-kampung dengan bantuan Muhyiddin (Yassin) dan pemimpin Umno lain, suasana di Johor, Kelantan, Perak dan Kedah akan bertukar," katanya.

Zaid berkata sokongan bekas Ketua Pembangkang Datuk seri Anwar Ibrahim untuk inisiatif Tun Dr Mahathir Mohamad juga akan dikenang.

"Anwar telah buktikan kepada dunia bahawa penderitaan peribadi tidak mengaburkan pandangan dan kebimbangannya terhadap negara.

"Ini akan menimbulkan rasa sayang ramai pengundi, terutama golongan muda terhadapnya. Saya ingin ke (penjara) Sungai Buloh untuk bersalaman dengannya, tetapi saya tidak pasti mereka akan benarkannya," kata Zaid.

Tiada ulasan: