Selasa, 8 Mac 2016

Deklarasi Rakyat akan wujudkan lebih banyak masalah, kata bekas KPN

Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Hubungan di antara mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pembangkang yang membentuk satu gerakan untuk menjatuhkan Datuk Seri Mohd Najib Razak, tidak akan bertahan, malahan hanya akan memberikan kesan buruk kepada negara.
 
Menurut bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, rakyat perlu menilai tujuan kepada pembentukan hubungan di antara dua pihak yang sekian lama berseteru itu sebelum terpengaruh dengan gerakan yang dicetuskan pihak berkenaan.
 
"Apakah tujuannya untuk kebaikan atau sebaliknya. Kalau tujuannya hanya untuk menentukan bahawa perdana menteri turun kuasa, kalau itu tujuannya saja, saya fikir ia akan bawa keadaan yang buruk kepada negara.
 
"Hubungan yang sementara selalunya tidak akan kukuh dan akan menimbulkan lebih banyak masalah," katanya kepada Antarapos.
 
Musa menambah, hubungan di antara pihak-pihak yang terlibat dalam gerakan tersebut lebih mempunyai banyak percanggahan pendapat berbanding hanya satu persamaan yang mahu menyingkirkan Najib selaku perdana menteri.
 
Beliau dalam pada itu turut melahirkan rasa khuatir sekiranya gerakan tersebut melaksanakan cara ala Arab Spring seperti yang berlaku di negara Timur Tengah untuk menjatuhkan Najib.
 
"Kalau tindakan menjurus kepada perkara-perkara yang boleh menggugat keamanan dan keselamatan, maka ia akan menjadi seperti di negara lain untuk menuntut pemimpin tertentu menurunkan kuasanya.
 
"Jadi kita tak mahu sampai ke tahap itu," ujarnya.
 
Musa dalam itu turut menyelar pemimpin yang menyertai gerakan berkenaan kerana begitu terdesak mahu menukar perdana menteri menerusi cara yang tidak demokratik.
 
"Kita ada peraturan kita. Kalau mahu tukar kerajaan, ada caranya iaitu menerusi pilihan raya. Kalau nak memaksa seseorang pemimpin turun dengan cara di jalanan, itu tak betul. 
 
"Saya rasa mereka perlu bertanggungjawab juga melainkan kalau mereka mahu merosakkan negara. Kerana kebanyakan mereka ini ahli politik yang berpengalaman, jadi mereka sepatutnya faham (undang-undang). Mereka bukan orang baru, orang lama semuanya," ujarnya lagi.
 
Jumaat lalu, Dr Mahathir dengan pimpinan pembangkang, NGO, aktivis dan masyarakat sivil bekerjasama dalam pergerakan 'Selamatkan Malaysia' dan menandatangani Deklarasi Rakyat untuk mendesak pengunduran Najib.
 
Turut menandatangani deklarasi itu adalah seteru politiknya daripada DAP iaitu Lim Kit Siang. 
 
Antara pemimpin pembangkang lain yang turut berbuat demikian ialah Datuk Seri Azmin Ali (PKR), Datuk Mustafa Ali, Datuk Mahfuz Omar (PAS), Datuk Kamaruddin Jaafar (PKR), Tian Chua (PKR), Mohamad Sabu dan  Salehudin Ayub (Parti Amanah Negara).
 
Selain pembangkang, beberapa aktivis seperti Datuk S. Ambiga dan Maria Chin Abdullah turut hadir pada majlis itu.
 
Kesemua mereka sebelum ini adalah pengkritik paling lantang Mahathir sepanjang 22 tahun beliau menerajui negara dan Umno.
 
 

Tiada ulasan: