Ahad, 27 Mac 2016

DAP seru badan kehakiman selesai segera saman Mahathir terhadap Najib

lim-lip-eng21

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Mahkamah dan badan peguam diseru menyelesaikan segera kes saman yang difailkan ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas dakwaan mengingkari tanggungjawab fiduciari dan pelanggaran undang-undang sebagai penjawat awam.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, berkata rakyat meletakkan harapan terakhir kepada badan kehakiman bagi menyelesaikan kes itu dengan segera serta masih percaya bahawa ia mampu mendedahkan kebenaran berkenaan skandal tersebut.

Saman itu dikemukakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua bekas pemimpin UMNO yang  mendakwa Najib cuba menjejaskan siasatan-siasatan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang derma RM2.6 bilion ke akaun peribadinya.

“Tiga bekas pemimpin UMNO itu sedang melakukan apa yang terbaik untuk rakyat Malaysia yang selari dengan undang-undang bagi menyelamatkan negara ini.

“Ia membuktikan bahawa mereka dan seluruh rakyat Malaysia yang lain, termasuk saya, masih yakin dengan badan kehakiman walaupun banyak dakwaan mengatakan mahkamah lebih memihak kepada golongan yang berpengaruh,” kata Lip Eng dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, kes itu perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan Najib dan kerajaan UMNO-BN terus cuba menutup skandal berkenaan dan menghalang rakyat dari mempersoalkannya sehingga tamat pilihanraya umum ke-14.

“Saya bimbang jika saman ini mengambil masa yang panjang di mahkamah, Najib sebagai defendan boleh terus menolak semua persoalan tentang dua skandal itu daripada dibincangkan.

“Saya hampir pasti juga bahawa calon-calon BN dalam pilihanraya negeri Sarawak akan datang bakal menggunakan saman ini sebagai justifikasi untuk melarikan diri daripada soalan-soalan berkaitan dua skandal tersebut.

“Malah, ia akan turut memberi kesan kepada media kerana terpaksa lebih berhati-hati melapor isu itu untuk mengelak dari masalah undang-undang yang tidak diingini disebabkan tindakan saman ini, termasuk semasa kempen PRU14 akan datang,” katanya.

Kegagalan menyelesaikan kes itu dengan segera, katanya, turut mampu menyebabkan siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dihentikan pada bila-bila masa, justeru beliau menggesa mahkamah dan badan peguam menyelesaikan kes itu secepat mungkin. – Roketkini.com


Tiada ulasan: