Sabtu, 19 Mac 2016

Calon wanita Penan berdepan isu seksisme, rasisme bahang p'raya S'wak

Kow Gah Chie




Parti-parti pembangkang sering memetik situasi geografi dan demografi Sarawak sebagai cabaran utama ketika berkempen di negeri itu yang dianggap sebagai kubu BN.

Bagi Elia Bit yang berusia 28 tahun, bakal calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Marudi, dia menambah unsur seksisme, rasisme dan 'serangan' kecil dalam senarai tersebut.

Kenyataan berunsur seksis dan rasisme didakwa dibuat terhadap pasukan kempennya semasa mengunjungi sebuah rumah panjang bulan lepas.

Menurut pembantu kempen Elia, Bujang Gama, tuai sebuah rumah panjang didakwa menghina Elia (foto), seorang keturunan Penan.

"Saya membawa bersama kalendar Elia (bahan edaran kempen), dan tuai (ketua) rumah itu menuding ke arahnya dan berkata, 'Mengapa saya harus sokong dia? Wanita Penan murah?. Saya pernah tidur dengan ramai mereka.

"Ini amat menghina," kata Bujang kepada Malaysiakini.

Menurutnya, kira-kira satu pertiga daripada pengundi di Marudi adalah dari kumpulan Penan asal.

Bujang juga mendakwa dia ditampar di belakang kepalanya oleh tuai rumah itu semasa mereka mengunjungi rumah panjang itu pada 18 Februari.

"Tuai rumah itu menuntut kita membayar RM500 jika kami hendak bermalam di rumah panjang itu," dakwanya.

Pasukan kempen tiga orang lelaki itu terus beredar dari rumah panjang itu dan membuat laporan di Balai Polis Long Lama dua hari kemudian.

Butiran hilang

Bujang, bagaimanapun, tidak memasukkan kenyataan seksis atau rasis yang didakwa ditujukan kepada Elia dalam laporan yang dibuatnya itu.

"Dia takut, dengan meletakkan maklumat di dalam laporan polis itu akan merendahkan maruah saya," kata Elia, yang juga seorang aktivis hak orang asal dengan Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS).

"Saya rasa terhina dan terancam. Uncle Bujang berkata tuai rumah itu mengoyak kalendar saya dan dia merasakan bahawa lelaki itu juga akan menampar saya jika saya berada di sana," katanya.

Calon muda itu berkata dia dan pasukannya telah diberikan tempoh satu bulan bagi tuai rumah itu membuat permohonan maaf secara terbuka. Tarikh akhirnya telah berlalu tanpa sebarang permohonan maaf.

"Bujang membuat satu lagi laporan pada hari Selasa, menggesa pihak polis bertindak kerana tuai itu gagal memohon maaf," katanya sambil menambah mereka sedang berbincang dengan peguam mereka untuk tindakan susulan.

Seorang pegawai polis, yang bercakap dengan Malaysiakini dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, mengesahkan laporan yang dibuat oleh pembantu Elia itu.

"Saya sangat sibuk. Tetapi saya akan panggil kedua-dua mereka untuk melihat (jika tuai rumah itu bersedia) memohon maaf (kepada Bujang)," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, tuai rumah itu tidak 'menampar' Bujang, tetapi hanya 'menepuk' belakang kepalanya, dan perkara itu adalah tertakluk kepada Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Pegawai itu juga berkata, beliau akan bertanya tentang kenyataan berunsur seksis itu walaupun ia tidak dinyatakan dalam laporan polis itu.

"Di Baram, ia boleh menjadi sangat sensitif," keluh pegawai polis itu. Malaysiakini tidak menyiarkan nama rumah panjang itu dan nama tuai terbabit.

Kerusi panas

Sementara itu, perebutan kerusi dalam parti komponen BN Sarawak semakin sengit, dan persaingan itu jelas dapat dilihat di DUN Marudi.

Kedua-dua Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan parti serpihannya Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS), yang dibentuk oleh bekas presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom, telah menyatakan minat untuk meletakkan calon.

Sylvester Entri Muran dikatakan merupakan peluang terbaik BN, selepas memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti selesa 3,202 undi dalam pilihan raya negeri 2011.

Bagaimanapun, Sylvester telah meninggalkan SPDP untuk menyertai TERAS, yang menjadi parti mesra BN.

Sebaliknya, SPDP berkeras untuk meletakkan calonnya sendiri. Malah, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, yang menyifatkan Sylvester sebagai "calon boleh menang", tidak dapat mengubah pendirian parti itu.

Ini mungkin mencetuskan masalah bagi BN kerana kerusi Parlimen Baram, di mana terletakkan DUN Marudi, hampir jatuh ke tangan PKR dalam pilihan raya umum 2013. Kerusi itu dimenangi calon BN, Jacob Dungau Sagan dengan majoriti tipis 194 undi.

Politik rumah panjang

Sebahagian daripada rumah panjang di Marudi dikenali sebagai kubu kuat BN, menjadikannya hampir mustahil bagi calon pembangkang untuk mendapat akses dalam usaha mereka mendapatkan undi.

Selain rumah panjang disebut, Elia berkata terdapat empat rumah panjang lain yang secara terbuka menolak calon pembangkang kerana tuai rumahnya mendakwa menjadi penyokong kuat Sylvester.

"Saya dengar dua rumah panjang telah meletakkan notis (melarang kami) memasukinya," dakwa Elia.
Sylvester juga menteri muda bagi kemudahan awam (bekalan air).

"Saya pernah diminta beredar dari kawasan rumah panjang oleh seorang wakil ketuanya, sebelum saya sempat turun dari van," kata Elia.

Selepas berdekad berada di bawah BN, telah wujud budaya anti-pembangkang di kawasan-kawasan berkenaan.

Katanya, dia tidak menunjukkan parti yang diwakilinya apabila berkunjung ke perkampungan tersebut bagi mengelak ditolak mentah-mentah. Sebaliknya, dia menjalinkan persahabatan dengan mereka sebelum memperkenalkan parti politiknya.

"Terdapat sejumlah 170 rumah panjang di Marudi, kami telah mengunjungi 47 daripadanya," katanya.

'Tangki biru'

Kesukaran yang dihadapi oleh Elia itu turut dikongsi oleh Paul Baya dan George Chen, yang merupakan antara kumpulan pertama bakal calon yang diumumkan oleh PKR.

Paul, bakal calon Mulu - kerusi majoriti pengundi Orang Ulu yang diwujudkan di bawah persempadanan semula Sarawak baru-baru ini - berkata, terdapat perbincangan di kalangan masyarakat rumah panjang supaya ketua-ketuanya tidak menerima kedatangan calon pembangkang.

Paul bagaimanapun mengakui dia masih belum menghadapi masalah seumpama itu.

Paul menjangka ia bukan sesuatu yang akan mudah bagi pembangkang kerana sokongan kepada calon bukan BN boleh membawa akibatnya.

Penghuninya selalunya tidak menentang ketua mereka kerana takut mereka tidak akan menerima bantuan kerajaan, yang termasuk kemudahan asas seperti tangki air kepada setiap isi rumah.

Keluarga rumah panjang di Mulu memerlukan tangki air, yang di kalangan penghuninya lebih dikenali sebagai 'Tangki Biru', yang diberikan oleh kerajaan di bawah projek luar bandar mikro (MRP) bagi menyimpan air dari gunung dan sungai di sekitarnya.

Chen, bakal calon DUN Machan, mengakui beliau berdengan dengan masalah yang sama kerana tuai-tuai rumah panjang didakwa memegang peruntukan MRP dan hanya akan memberikan kepada mereka yang secara terbuka menolak pasukan kempen pembangkang.

Menurutnya, rakan-rakannya dan mungkin calon DUN Tamin dan DUN Ngemah turut menghadapi isu yang sama.

Kerja-kerja pembaikan

Sementara itu, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata bakal calon bakal partinya tidak berdepan dengan masalah seumpama itu dalam kempen pilihan raya mereka.

"Bakal calon kami tidak mempunyai sebarang masalah untuk memasuki rumah panjang, mereka dialu-alukan oleh masyarakat di situ," katanya kepada Malaysiakini dalam satu mesej teks.

DAP yang memenangi 12 daripada 15 kerusi DUN yang ditandingi dalam pilihan raya 2011, merancang untuk bertanding di 35 hingga 40 kerusi dalam pilihan raya negeri yang akan datang.

Sekurang-kurangnya 26 daripadanya adalah kerusi majoriti masyarakat Dayak. Pada 2011, DAP hanya dapat menarik 30 hingga 40 peratus undi masyarakat Dayak di kerusi yang berjaya dimenanginya.

Dalam satu kenyataan media, Setiausaha Politik Chong, Gerald Roger Anding berkata kerajaan negeri akhirnya telah menyelesaikan masalah jalan yang teruk yang menuju ke rumah panjang Jelau Atas dalam DUN Layar, yang terletak dalam kawasan Parlimen Betong.

Ia selepas kehadiran dan tekanan daripada inisiatif Impian Sarawak, katanya.

Impian adalah program DAP yang menyediakan infrastruktur asas - jalan raya, air dan elektrik - kepada masyarakat luar bandar di Malaysia Timur.

Sebelum ini, katanya, penduduk rumah panjang Jelau Atas menemui DAP bahagian Betong untuk meminta bantuan, dan pasukan Impian Sarawak telah bersetuju untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan supaya a boleh dilalui kenderaan biasa.

"Projek kami sepatutnya bermula pada hari Isnin. Tetapi timbalan ketua menteri dan ADUN Layar, Tan Sri Alfred Jabu berjanji kerajaan akan membaiki jalan raya," katanya.

Tiada ulasan: