Rabu, 16 Mac 2016

Blok baru pembangkang PAS-IKATAN berbeza dengan PH

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: PAS hari ini mengumumkan pembentukan blok baru pembangkang bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).
 
Gabungan itu akan menjadi blok politik ketiga selepas Umno-Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 yang tempoh berbaki dua tahun lagi.
 
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertegas blok baru pembangkang ini membawa agenda politik yang berbeza dengan Pakatan Harapan.
 
"Kita tidak mahu mengikut Pakatan Harapan yang menggunakan pendekatan ekstrim.
 
"Kita pilih pendekatan membangkang secara nasihat, kemuka cadangan yang baik. Apa yang kerajaan buat kita sokong. Yang tak baik kita nasihat," katanya di sidang media sebentar tadi.
 
Bukan itu sahaja, Hadi juga berkata PAS terbuka dengan mana-mana pihak lain, termasuk parti politik yang berminat dengan blok baru pembangkang ini.
 
Dalam masa yang sama beliau menolak dakwaan bahawa kerjasama PAS-IKATAN itu semata-mata memecah-belahkan undi kaum Melayu, sebaliknya ia memberi manfaat kepada parti lain.
 
"Selama ini Melayu sudha berpecah. Bukan kerana kita. Apa yang kita lakukan hari ini untuk menyatukan kaum Melayu dan kaum-kaum lain di Malaysia," jawabnya.
 
Dalam sidang media yang sama, Ahli Parlimen Marang itu juga menjawab dakwaan parti itu mampu bergerak sendiri selepas tidak lagi menyertai Pakatan Harapan.
 
"Kita tidak sebut untuk bergerak sendiri. Kita menerima hakikat masyarakt majmuk di Malaysia. Tegas bahawa jika PAS hanya memperolehi majoriti mudah, sekaligus yang besar, PAS tidak akan menganiaya kaum-kaum lain yang mesti bersama di dalam kerajaan," ujarnya.
 
Sementara itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan gabungan itu sebagai pencetus menentang kemungkaran dan memperkukuhkan kebaikan sebenar untuk rakyat.
 
"Kita membuka ruang ke arah membina satu kumpulan persefahaman kerjasama politik yang tersusun yang sedang digagaskan oleh PAS dengan membawa model budaya politik matang, terbuka, bertanggungjawab, bersih dan sejahtera dengan parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin turut serta.
 
"Ia menuntut kami untuk turut bergerak di atas teras penyelesaian dan politik membina, di samping menolak budaya politik oportunis, kasar dan perkauman sempit yang boleh menggugat keharmonian dan kemajuan negara kita ini," katanya.
 
 
 

Tiada ulasan: