Isnin, 14 Mac 2016

'Bersihkan' Najib: Pua mahu heret Azalina ke JK Parlimen

Shakira Buang

 


Ahli Parlimen Petaling Jaya, Tony Pua mendakwa bahawa Menteri Umno Datuk Seri Azalina Othman gagal memberi maklumat dan fakta lengkap ketika ‘membersihkan’ Datuk Seri Najib Razak berhubung dana RM27 juta milik SRC International yang dimasukkan ke akaun bank perdana menteri.

Katanya, sekiranya Azalina gagal memberi penjelasan, beliau akan mengheret Azalina ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

"Saya bertanya kepada Parlimen pada minggu lepas sama ada Peguam Negara menyiasat wang RM26 bilion disalurkan dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan tambahan RM3.2 juta digunakan untuk membayar kad visa dan mastercard," katanya pada sidang media di lobi parlimen.

Azalina pada minggu lalu melalui jawapan bertulisanya berkata hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menunjukkan bahawa perdana menteri telah melakukan sebarang perbuatan rasuah (corrupt practice).

"Berdasarkan keseluruhan fakta dan keterangan, peguam negara beruashati bahawa tiada apa-apa kesalahan jenayah yang dilakukan YAB perdana menteri berkaitan kes-kes tersebut," katanya.

Bagaimanapun Pua mendakwa jawapan Azalina bercanggah dengan kenyataan bertarikh 24 Februari yang dibuat oleh Panel Penilaian Operasi (PPO) kerana ia menunjukkan siasatan masih belum selesai.

Dalam kenyataan itu, panel SPRM berkata mereka bersetuju supaya SPRM menghantar semula kertas siasatan kepada peguam negara.

"Kenyataan itu hanya boleh bermakna bahawa siasatan masih 'belum lengkap' dan SPRM telah meminta bantuan daripada peguam megara untuk mendapatkan Bantuan Guaman Bersama (MLA) untuk mengakses bukti tambahan itu," kata Pua.

Oleh itu, katanya, jawapan Azalina adalah mengejutkan kerana tiada maklumat dan fakta lengkap bagi menjawab persoalan tersebut.

"Dia mesti jelaskan mengapa kenyataannya bercanggah dengan SPRM.

"Adakah dia cuba memperdaya Parlimen dalam jawapannya untuk terus melindungi Najib?" soal Pua.

"Jika dia gagal beri penjelasan dan bukti bahawa SPRM memang 'membersihkan' perdana menteri, kita akan mempertimbangkan merujuk beliau kepada Jawatankuasa Dewan Hak dan Kebebasan kerana sengaja mengelirukan Parlimen," katanya.


Tiada ulasan: