Khamis, 24 Mac 2016

Berani Najib bubar parlimen ketika kesuraman ekonomi?

Dr Dzulkefly Ahmad  





Jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhasrat untuk membubarkan parlimen dalam masa terdekat ini bagi menyelamatkan dirinya dan parti serta barisan yang dipimpinnya, beliau perlu berfikir banyak kali lagi.

Seorang perdana menteri tidak akan melakukan kejutan dengan menamatkan pemerintahannya melalui pilihanraya mengejut atau snap election ketika keadaan ekonomi melembap dan negara dalam pelbagai keberantakan.

Tambahan jika semua angkara itu ada hubungkait dengan diri perdana menteri.

Untuk ingatan, Belanjawan Pakatan Harapan 2016 dengan mengangkat tema 'Mengelak Krisis' atau 'Averting A Crisis', meramalkan kegawatan ekonomi akan bermula suku ketiga tahun ini.

Kenyataan yang diterbitkan oleh Laporan Unjuran Ekonomi oleh Bank Negara Malaysia semalam persis seperti ramalan pembangkang.

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang selalu optimis atau bullish, kali ini mengakui akan hakikat senario suram yang mungkin menjadi lebih gawat lagi ke hujung tahun ini.




Laporan Unjuran (Outlook) Bank Negara semalam meramalkan pertumbuhan akan 'perlahan' ke paras 4.0 hingga 4.5 peratus untuk tahun 2016.

Implikasi ini pastinya besar buat sebuah negara. Pertumbuhan tahun 2105 ialah 5.0 peratus yang dipacu oleh permintaan domestik. Ia adalah tahun kedua penurunan pertumbuhan berturut-turut.

Faktor-faktor utama penyebab ini dikaitkan dengan kelemahan harga LNG - Liquefied Natural Gas (Malaysia adalah negara kedua terbesar pengekspot LNG), nilai ringgit yang lemah, penurunan pertumbuhan perbelanjaan isi-rumah dan pengurangan pertumbuhan pelaburan swasta serta risiko akibat hutang 1MDB.

Ramalan inflasi melonjak antara 2.5 peratus ke 3.5 peratus berbanding inflasi 2.1 peratus pada tahun 2015.
Rakyat lebih tahu keperitan impak inflasi sebenar yang ditanggung mereka melebihi angka CPI barangan dan perkhidmatan dalam bakul CPI atau Indeks Harga Pengguna.

Statistik pengangguran pula berada pada paras 3.3 peratus pada Disember 2015.

Jumlah penganggur melebihi 454,900 dan 35 peratus daipda mereka terdiri dari graduan. Pastinya pekerja yang diberhentikan secara skim ‘VSS’ mutakhir ini menambah sengsara rakyat.




Dengan kadar peningkatan impot melebihi ekspot, lebihan dagangan bakal menurun ke paras RM79.5 bilion berbanding RM94.6 bilion tahun lalu, mengikut unjuran Bank Negara. Lebihan akaun semasa juga menguncup ke paras RM19.1 bilion berbanding RM34 bilion.

Semua cabaran ini perlu didepani disamping gangguan atau lebih tepat lagi gugatan dari skandal 1MDB, melibatkan dana melebihi AS$11 bilion dan perihal 'derma' AS$700 ke dalam akaun Najib, yang belum terungkai, mengikut laporan Reuters itu.

Berani Najib membubar Parlimen terdekat ini?

Dr Dzulkefly Ahmad adalah Pengarah Strategi, Parti Amanah Negara


Tiada ulasan: