Sabtu, 5 Mac 2016

Benarkah Muhyiddin Yassin seorang Umno totok?

Oleh Abdul Rahman Malik

 
Post Pic
 
 
[ULASAN] Sedalam mana dan setebal mana sifat dan sikap totok Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Umno? Secara rasminya sudah dua kali beliau menggunakan istilah itu untuk mempamerkan kesetiaan pada Umno.
 
Pertama kali Muhyiddin berkata demikian apabila disergah wartawan apakah beliau akan meninggalkan Umno berikutan pemecatannya dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran. 
 
Kelmarin, 3 Mac 2016 ketika mengulas penggantungannya menjalankan tugas Timbalan Presiden Umno pada Jumaat, 26 Februari 2016 lalu, Muhyiddin dengan bangganya mengulangi beliau adalah Umno totok. 
 
Totok membawa makna setia, sayang yang pasti akan meneruskan perjuangan dan sentiasa bersedia mempertahankan maruah partinya. Justeru kini terpulang pada Muhyiddin membuktikan sedalam mana ketotokannya pada Umno. 
 
Pertama sekali persoalan yang boleh ahli-ahli Umno jati ditujukan pada Muhyiddin adalah, bersediakah beliau berbalah dengan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed? 
 
Lebih dari itu, sanggupkah beliau menyerang balas kritikan, sindiran dan serangan politik yang dilakukan Mahathir tanpa lelah demi mempertahankan maruah Umno?
 
Pengumuman Muhyiddin bahawa beliau tidak akan meninggalkan Umno kerana ia adalah sebuah parti yang baik pasti teruji dan mengujanya mempertahankan partinya daripada serangan musuh terbesar Umno kini iaitu Tun Dr Mahathir. 
 
Sesungguhnya, Mahathir kini kemaruk mahu menumbangkan Umno. Kini beliau sudah berjaya memujuk dan meyakinkan parti-parti pembangkang bahawa beliau bersedia bersama mereka menjahanamkan Umno. 
 
Mahathir pun bukan bertepuk sebelah tangan. PKR yang ditubuhkan atas dorongan benci terhadap Mahathir kini sudah bersedia berganding dengan Mahathir berkempen menjatuhkan presiden Umno.
 
Cuma yang masih teragak-agak mahu menyertai Mahathir ialah Muhyiddin, yang kini digantung tugas partinya kerana bukan sahaja tidak membantu presiden, Datuk Seri Najib Razak, tetapi mencercanya di khalayak ramai. 
 
Bela parti jika ikhlas
 
Pada 3 Mac (Khamis) 2016, Muhyiddin mengisytiharkan rasa cinta, yakin dan ketaatannya membela partinya. Beliau tidak akan meninggalkan Umno meskipun jawatannya digantung. 
 
Namun keikhlasan dan kesungguhan perisyhtiharannya itu harus dibuktikan dengan ketegasan bahawa beliau akan sentiasa membela partinya jika diperlekehkan oleh pihak luar, tidak kira ia adalah Mahathir atau bukan.
 
Dr Mahathir kini bukan ahli Umno. Beliau sudah meninggalkan parti yang dianggapnya sudah jadi milik peribadi Najib. Beliau kini menyertai pemimpin-pemimpin pembangkang mengatur siasah menundukkan Umno.
 
Jika sayangkan Umno perkara yang perlu dilakukan oleh Muhyiddin ialah menyediakan jawapan dan hujah balas terhadap setiap serangan yang sedang diatur pembangkang. 
 
Soal rasa tidak puas hati beliau terhadap Najib adalah satu perkara lain. Beliau harus sentiasa insaf bahawa soal dalaman parti mesti diselesai dan didebatkan dalam parti. 
 
Kali ini Muhyiddin mestilah benar-benar ikhlas. Dalam sejarah politik moden Johor ada sekurang-kurangnya dua tokoh yang perlu dijadikannya pedoman dalam menyusun strategi dan survivalnya dalam parti. 
 
Tun Musa Hitam adalah satu contoh cemerlang. Meskipun bersengketa dengan Mahathir dan Tengku Razaleigh, beliau sanggup bergabung dengan putera Kelantan itu untuk menentang mudarat lebih besar dalam Umno iaitu Mahathir.
 
Pada perhimpunan Agung Umno pada 1987 beliau tewas kepada regu Mahathir, Allahyarham Tun Ghafar Baba untuk jawatan Timbalan Presiden parti. Namun beliau tidak meninggalkan Umno hingga hari ini. 
 
Seorang lagi pemimpin Umno Johor yang menentang Mahathir ialah Tan Sri Shahrir Samad. Beliau meletakkan jawatannya sebagai ahli Parlimen Johor Bahru untuk memastikan satu pilihanraya kecil diadakan. 
 
Kemudian beliau menawarkan diri untuk bertanding semula menentang calon Umno yang dipilih oleh Mahathir. Shahrir menang dan berjaya memungut markah politik yang besar. 
 
Namun Shahrir tidak pula meninggalkan Umno. Mungkin unsur ini yang dibanggakan oleh pemimpin-pemimpin Umno Johor dan amat berbesar hati mengisytiharkan diri Umno totok. 
 
Tergamakkah Muhyiddin aibkan parti kepada RoS?
 
Bagaimanapun berapa totok kah Muhyiddin sebagai ahli Umno? Ketika beliau mengulangi istilah itu dalam sidang medianya Khamis lalu beliau juga menyatakan mahu merujuk penggantungannya kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS).
 
Apakah sikap totoknya tidak dapat mengingatkannya bahawa tindakan merujuk Umno kepada RoS itu akan mempunyai kesan negatif terhadap integriti dan maruah Umno?
 
Tergamakkah Muhyiddin menjerumuskan Umno mengharungi badai politik dalaman seperti yang hampir memusnahkan MIC? Seorang Umno totok pasti tidak akan rela mengaibkan partinya hingga ke peringkat itu.
 
Selain itu, Muhyiddin tidak segan silu menyatakan bahawa beliau menyokong usaha mengadakan sidang di kalangan pimpinan pelbagai parti politik yang dirancang pada 27 Mac. Agenda sidang ialah bagaimana menggulingkan Najib! 
 
Jika benar Muhyiddin ahli Umno totok, beliau juga seharusnya bertindak cara budiman. Jika sasaran kebenciannya ialah Najib, mengapa tidak umumkan sahaja beliau akan menggunakan saluran parti untuk mengalahkan Najib.
 
Muhyiddin boleh menawarkan diri dari sekarang untuk bertanding jawatan presiden apabila ada pemilihan kelak. Sudah tentu ahli Umno akan melihat tindakan ini sebagai kombinasi keikhlasan dan keberanian dan betapa totoknya Muhyiddin. 


Tiada ulasan: