Isnin, 14 Mac 2016

Belasungkawa demokrasi dalam Umno




Oleh Aizat Fikri Nasir Fikri


Popkin menyatakan kita hidup dalam era yang menyaksikan kesetiaan terhadap parti semakin menyusut.
Tumpuan beralih kepada individu dan bukan lagi kepada parti. Hal ini

menyebabkan wujudnya persaingan antara ahli parti untuk menonjol dan mencari ruang untuk melebarkan sayap politik masing-masing. Perlumbaan di dalam parti menjadi semakin sengit dan ternyata meletihkan.

Senario yang berbahaya inilah sedang berlaku dalam kalangan pucuk pimpinan dan akar umbi Umno.


Demokrasi yang gemilang suatu masa dahulu sedang meniti era kemerosotannya. Persaingan tidak sihat antara sesama ahli dan pucuk pimpinan menimbulkan ketegangan sekali gus meretakkan semangat setiakawan yang amat penting untuk melestarikan keperkasaan parti. Masing-masing mempunyai agenda dan muslihat tersendiri.

Apabila hal ini berlaku, ahli-ahli parti akan terbahagi pada puak-puak tertentu yang secara tidak langsung menyemarakkan semangat assabiyah. Semangat assabiyah melunturkan demokrasi. Kelompok yang baik dan rapat dengan orang-orang kanan parti tampil popular, mendapat habuan yang lumayan dan menjawat posisi elit. Manakala mereka yang kurang dikenali meskipun berkebolehan, berpotensi dan berwawasan akan dianaktirikan.

Silap hari bulan, mereka akan dikuis oleh golongan majoriti yang terbukti lebih berkuasa. Dalam situasi ini demokrasi bertukar menjadi diskriminasi.

Saya mengikuti rapat gelombang perubahan pasang surut yang melanda Umno. Dalam tempoh masa sekarang, tatkala rakyat semakin kritikal dan analitikal, Umno memberikan persembahan sangat corot dalam sejarah.

Bagaimana Umno mahu kekal relevan di mata rakyat jika pemimpin dalam parti sendiri berbalah dan bercakaran sesama sendiri?

Glu ukhuwah dan semangat perjuangan yang menjadi pelekat keutuhan Umno semakin hari semakin kering. Apakah yang diperjuangkan Umno sekarang? Tidak ada polisi, dasar dan agenda yang jelas dalam memacu perjalanan negara ini.

Saban hari melalui media massa, rakyat dihidangkan berita memualkan pemimpin A menempelak pemimpin B. Dengan konflik dalaman yang tidak dapat dimurnikan, rakyat akan dimangsai. Janji-janji yang ditabur sewaktu kempen pilihan raya tidak dapat dilunaskan justeru orang yang bertanggungjawab melaksanakan tugas itu dihimpit oleh desakan dan tuntutan dalaman parti yang meletakkan karier politiknya di hujung tanduk.

Perjuangan sebenar Umno adalah untuk menggagaskan kesejahteraan rakyat, mengangkat martabat bangsa dan memerangi dakyah-dakyah songsang pihak pembangkang. Namun, apabila pucuk pimpinan dan ahli parti Umno sendiri macam anjing dengan kucing, objektif perjuangan ke sasaran sekali gus membuka peluang kepada pembangkang untuk menunjukkan taring.

Umno sudah lari dari landasan asal. Kita yang dahulunya hero demokrasi, kini menjadi pembunuh demokrasi. Barisan kepimpinan yang dahulunya lantang menyuarakan pandangan akar umbi kini diam seribu bahasa menjadi boneka sang pemimpin utama.

Pemimpin-pemimpin Umno makin bongkak, sombong dan mementingkan diri sendiri. Presiden parti pula rela memekakkan telinga membutakan hati dan hidup di alam fantasi ciptaan sendiri walhal parti sedang derita. Umno rosak, ahli-ahli parti di akar umbi terluka hatinya. Sejarah membuktikan kedegilan pemimpin tidak mendatangkan kebaikan malah mengundang kekalahan.

Itulah yang berlaku di Terengganu pada tahun 1999. Kini kita sudah tidak bisa bersuara dalam Umno, hanya mereka yang bersependapat dengan presiden mempunyai imuniti untuk mencaci orang lain tidak sekapal.

Umno juga berada di takuk kritikal kekontangan pemimpin dan pelapis yang berwibawa. Pada masa lampau, kita bukan sahaja menghafal nama-nama menteri kabinet, malah kita dapat melihat hasil kerja serta sumbangan mereka.

Kita naik bangga dan teruja dengan idea-idea bernas yang dibentangkan mereka untuk kecemerlangan masa depan tanah air bertuah ini. Namun kini, kita sendiri hampir tidak kenal barisan menteri Kabinet. Sudahkan nama tidak dikenali, apatah lagi program pembangunan yang direncanakan oleh mereka tentunya ibarat jauh panggang dari api.

Lewat media sosial, mereka menjadi bahan lelucon masyarakat. Barangkali, rasa hormat terhadap pemimpin dalam kalangan rakyat yang semakin pudar berpunca daripada pucuk pimpinan Umno sendiri.

Mana tidaknya, sedangkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Seri Nazri Aziz sendiri di barisan hadapan kepimpinan Umno lantang menghina Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Teladan buruk seumpama inilah yang dipamerkan kepada ahli parti lainnya dan juga kepada rakyat keseluruhannya. Mereka inilah yang bertindak seperti duri dalam daging yang secara perlahan-lahan melemahkan kepercayaan dan rasa hormat orang ramai terhadap Umno. Mereka kadang-kadang lupa di mana letak duduk mereka.

Umno sedang diserang penyakit biadab yang sangat kronik, bersikap biadab dibolehkan dalam Umno demi melindungi dan mempertahankan individu-individu yang berkuasa. Kemelut politik yang melanda Kedah dan Terengganu membuktikan yang penyakit ini meresap ke seluruh urat-urat dan organ dalaman parti.

Pimpinan dan ahli parti di peringkat negeri hebat mengkritik, menghina, mengeji dan langsung tidak menghormati bekas pemimpin mereka, seolah-olah kedua-dua menteri besar ini langsung tidak pernah berjasa.

Bagaimana golongan muda hendak tertarik pada Umno, sedangkan pemimpin-pemimpin senior yang banyak menabur budi pun boleh diperlakukan sebegitu inikan pula orang-orang muda yang baru mahu berjinak-jinak dalam politik, tidak hairan lah mengapa mereka sentiasa menjauhkan diri daripada Umno.

Harus diakui, golongan muda khususnya hilang semangat patriotisme terhadap negara dan juga Umno.
Menghargai jasa dan pengorbanan pemimpin terdahulu memerdekakan tanah air daripada penjajah tidak boleh lagi dijadikan modal untuk menarik minat dan kesetiaan mereka kepada parti kerana mereka pun membutakan mata dan menulikan telinga daripada fakta sejarah.

Mereka lebih berminat untuk mendengar idea dan pelan-pelan progresif. Perjuangan Umno seolah-olah tidak memberi apa-apa erti kepada mereka. Hal ini berbalik pada peranan yang dimainkan oleh sayap Pemuda dan Puteri yang mewakili generasi muda.

Mereka yang sewajarnya lebih dinamik, terkehadapan dan sarat dengan idea-idea baru yang segar tidak memancarkan keupayaan ke tahap optimum. Kini Pemuda dan Puteri tampak mudah dijinakkan dan dilembutkan oleh pucuk pimpinan parti. Mereka juga tidak ubah seperti lalang yang tiada pendirian – ke kiri dan ke kanan – selari dengan tiupan kata-kata pucuk pimpinan.

Sebagai golongan muda, Pemuda dan Puteri perlu lebih progresif dan pragmatik. Mereka perlu melihat sesuatu perkara dari sudut pandang beliawan dan beliawanis. Jika ada yang tidak kena, perkara itu mesti diperbetulkan.

Dengan cara itu, barulah demokrasi akan terbela dan menyubur. Bumi yang mana tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora, Pemuda dan Puteri perlu menjadi kumpulan pendesak dari dalam parti dan bukan hanya jadi hero di luar parti.

Saya melihat terlalu banyak racun perosak yang merencatkan pertumbuhan demokrasi di dalam Umno. Jika persaingan sesama ahli parti tidak dibendung, ia akan lebih kucar kacir sekali gus membawa kepada kemusnahan parti.

Tsunami perubahan dalam landskap politik Malaysia pasti berlaku dan sekiranya Umno tumpas dalam pilihan raya akan datang, adalah sukar untuk mendapatkan kembali tampuk pemerintahan negara. Pucuk pimpinan harus sedar akan perkara ini, dan mestilah bertindak dengan segera. Kita tidak boleh lagi melindungi pemimpin yang ternyata menjadi bebanan buat parti.

Kembalikanlah demokrasi dalam Umno, dengarlah rintihan dan pandangan akar umbi, mengalah bukan bererti kalah. Bantulah kami wahai presiden parti demi parti keramat ini. Berkorbanlah demi parti keramat ini. Jadilah pemimpin yang berjiwa besar untuk menyelamatkan parti keramat ini.

Ambilah masa berehat selepas jauh berjalan selama 40 tahun. Ingatlah rakyat tidak lagi menganggap Umno sebagai parti ideal atau “supreme” seperti mana dikecapi selama ini.

Sebelum rakyat “bersuara” menerusi kertas-kertas undi mereka...

* Penulis adalah bekas timbalan presiden Umno London.


Tiada ulasan: