Khamis, 24 Mac 2016

Bekas pegawai Mara Inc, seorang pengarah direman

FREE MALAYSIA TODAY


Perintah reman itu dikeluarkan majistret terhadap mereka bagi siasatan pembelian hartanah oleh Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) di Melbourne, Australia.


mara,pegawai,reman


PUTRAJAYA: Dua bekas pegawai kanan Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) bergelar Datuk dan seorang pengarah syarikat direman tujuh hari sehingga 30 Mac ini bagi membantu siasatan berhubung pembelian hartanah oleh Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) di Melbourne, Australia.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman mengeluarkan perintah reman itu hari ini terhadap bekas pengerusi Mara Inc, bekas ketua pegawai eksekutif dan seorang pengarah sebuah syarikat dagangan.

Ketiga-tiga lelaki itu, yang berumur dalam lingkungan 40-an dan 50-an, ditahan kira-kira jam 10 pagi semalam selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.

Tahun lepas, sayap pelaburan MARA itu terbabit dengan kontroversi berikutan pendedahan akhbar Australia, The Age, yang mendakwa ia membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli sebuah blok pangsapuri lima tingkat, Dudley International House, di Melbourne dengan harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran.

Akhbar itu mendakwa `sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya’ telah terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok pangsapuri di bandar raya itu pada 2013, daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

Dudley International House merupakan asrama pelajar yang dibeli Mara, iaitu agensi yang menyediakan biasiswa bagi pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara.-BERNAMA

Tiada ulasan: