Jumaat, 18 Mac 2016

BAT Malaysia tutup kilang, 230 staf terjejas

 
Pengeluar rokok itu menutup operasi kilang kerana kemerosotan jualan rokok, kehadiran rokok seludup dan cukai tinggi dikenakan kerajaan.


British-American-Tobacco-Malaysia-Berhad


PETALING JAYA: British American Tobacco Malaysia Berhad (BAT Malaysia) akan menutup kilangnya di sini, susulan kemerosotan penjualan rokok, kehadiran rokok seludup di pasaran dan cukai tinggi dikenakan kerajaan.

Dalam kenyataannya hari ini, pengeluar rokok terkemuka itu berkata, penutupan kilang berkenaan juga adalah sebahagian penstrukturan semula syarikat bagi menghadapi cabaran persekitaran perniagaan.

BAT Malaysia menjelaskan, cukai rokok meningkat sebanyak 110% dalam tempoh lima tahun ini, menyebabkan kos pengeluaran naik mendadak.

Sementara itu, rokok seludup sudah menguasai lebih 40% pasaran tembakau di negara ini, menyebabkan keputusan menutup kilang terpaksa dilakukan.

Kenyataan itu menyebut, penutupan operasi kilang akan dilakukan secara berperingkat dan dijangka tutup sepenuhnya pada tahun depan.

Seramai 230 kakitangan BAT Malaysia yang terjejas dengan penstrukturan semula itu akan diberi pampasan dan faedah lain serta mendapat pilihan untuk menyertai program peralihan karier.

BAT Malaysia mengeluarkan rokok jenama Dunhill, Peter Stuyvesant dan Pall Mall, juga ada sumber produk tembakau untuk syarikat pengeluar tembakau lain di rantau ini

Tiada ulasan: