Khamis, 24 Mac 2016

Bahaya strok haba




     

 

Oleh NURSYAMIMI SAIDI


Malaysia kini berdepan dengan fenomena El Nino yang menyebabkan ancaman gelombang haba apabila beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dikenal pasti telah mencapai paras ambang gelombang haba melebihi 35 darjah Celsius.

Fenomena tersebut dijangka berlarutan sehingga hujung bulan ini yang boleh mengakibatkan komplikasi kepada sistem badan manusia jika terdedah kepada sinaran matahari pada suatu tempoh terutamanya kepada kanak-kanak yang sering terdedah dengan cuaca panas

Dalam tempoh tersebut, aktiviti luar yang sering dilakukan pelajar sekolah seperti Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, bersukan, berkawad, dan beriadah perlu dielakkan kerana berisiko untuk mendapat strok haba yang jarang sekali berlaku namun berpotensi untuk berlaku berikutan cuaca panas dan kering yang melanda negara kini.

Pegawai Perubatan Hospital KPJ Ampang Puteri, Dr. T Devarajan Theyventheran berkata, strok haba berlaku apabila seseorang mencapai paras suhu badan yang meningkat melebihi 40 darjah Celsius berbanding suhu badan normal iaitu kira-kira 37 darjah Celsius.

“Proses berpeluh adalah normal tetapi apabila peluh keluar secara berlebihan akan menyebabkan kandungan air di dalam badan berkurangan. Perlu diingatkan bahawa air yang terkandung di dalam badan adalah penting bagi organ-organ seperti jantung, buah pinggang, dan otak dapat menjalankan tugasnya dengan baik.

“Cuaca panas yang melampau boleh menyebabkan tubuh mengalami dehidrasi ditambah pula dengan tabiat kurangnya minum air menjadi punca anda boleh menghidap strok haba.

“Jika lewat mendapatkan rawatan, boleh menyebabkan komplikasi kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu koma dan boleh membawa kepada kematian,” katanya ketika ditemui di Klinik Waqaf An-Nur(KPJ), Ampang, baru-baru ini.

Menurutnya, dalam keadaan cuaca yang begitu terik, individu disarankan berwaspada dengan serangan tersebut dan mengetahui tanda-tanda awal strok haba bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku kerana strok haba boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengenal usia.

Kumpulan yang berisiko adalah kanak-kanak, warga emas yang berusia 65 tahun ke atas dan penghidap penyakit kronik di mana mereka perlu mengambil langkah-langkah pencegahan yang lebih baik.

“Mereka yang mempunyai penyakit kronik perlu berjaga-jaga dengan pengambilan ubat mereka yang boleh menyingkirkan air di dalam badan.

“Apabila perlu mengambil ubat secara rutin, mereka juga perlu memastikan mereka minum air kosong dalam jumlah yang lebih tinggi dan elakkan berada di kawasan panas,” katanya.

Katanya, tanda-tanda awal strok haba boleh dikesan dengan paras suhu badan yang tinggi melebihi 40 darjah Celsius selain simptom-simptom seperti loya dan muntah, sakit kepala, denyutan nadi menjadi pantas, kulit menjadi kering serta kemerahan dan kekejangan otot.

“Individu juga boleh terkena sawan, pitam dan mengalami kekeliruan sebagai petanda awal mereka menghidap strok haba. Jika ini berlaku, rawatan awal perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada tubuh badan mereka,” ujarnya.

Rawatan awal kepada mangsa

Jelas Dr. T Devarajan Theyventheran, jika seseorang itu disyaki menghidap strok haba, rawatan awal perlu dilakukan oleh orang di sekelilingnya bagi menurunkan suhu badan mangsa dengan membawanya ke tempat teduh atau sejuk serta membasahkan badan mangsa dengan mengelap menggunakan tuala basah terutamanya di bahagian leher, kepala, dan ketiak.

Jika suhu badan masih tidak turun, mangsa boleh direndamkan di dalam kolam air atau memandikan mangsa bagi menurunkan tekanan haba sebelum membawanya ke klinik.

Tambahnya, langkah-langkah pencegahan boleh dilakukan dengan mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti luar di bawah cahaya matahari dan segera mendapat perlindungan jika badan mula berpeluh.

“Individu juga perlu mengelakkan memakai pakaian yang tebal dan hanya mengenakan pakaian nipis bagi menghindarkan badan cepat berpeluh.

“Pengambilan minuman manis dan beralkohol juga perlu dikawal dalam tempoh cuaca kering dan panas kerana mudah menyebabkan badan menjadi dehidrasi dan amalkan pengambilan air putih yang mencukupi iaitu melebihi lapan gelas sehari,” katanya.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa supaya tidak meninggalkan anak mereka di dalam kereta jika berada di luar kerana haba yang terlalu tinggi di dalam kereta tanpa pendingin hawa boleh menyebabkan strok haba berlaku secara tiba-tiba.

Nasihat juga diberikan kepada guru dan majikan supaya mengurangkan aktiviti di luar seperti bersukan atau latihan kawad dalam tempoh cuaca sebegini kerana hanya memburukkan kesihatan diri terutamanya bagi kumpulan yang berisiko
 
 

Tiada ulasan: