Rabu, 30 Mac 2016

Azmin sindir menteri Umno takut Dr Mahathir

Shakira Buang




Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali hari ini menyindir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mahu mengambil tindakan ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad mengikut Akta Hasutan (1948).

Katanya, tidak ada sebab untuk menangkap bekas perdana menteri itu hanya kerana kelantangannya mendesak perletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Kenapa dia (Mahathir) nak kena tahan? Dengan Dr Mahathir pun nak takut," kata Azmin ketika ditemui pemberita di lobi bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), Shah Alam hari ini.



Azmin yang juga adalah timbalan presiden PKR berkata demikian ketika mengulas soalan wartawan berhubung strategi gerakan Deklarasi Rakyat bagi Selamatkan Malaysia sekiranya Dr Mahathir ditahan mengikut Akta Hasutan.

Semalam, Nur Jazlan berkata Dr Mahathir boleh dianggap menghasut kerana mengeluarkan kenyataan untuk bertindak "di luar jangkaan” untuk menjatuhkan Najib.

Menurutnya, polis akan menyiasat pelbagai kenyataan bekas perdana menteri selama 22 tahun itu dan sekiranya keputusan siasatan menunjukkan beliau melanggar undang-undang, maka tindakan akan diambil.

Sementara itu, mengulas tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang tidak menandatangani Deklarasi Rakyat, Azmin berkata ini kerana pemimpin veteran Umno itu sudah menandatangani Deklarasi Kelantan yang menyokong Najib

Azmin turut menyifatkan tindakan Razaleigh sebagai bercanggah dengan sokongan yang diberikannya pada hari deklarasi berkenaan ditandatangani.

"Memang dia (Razaleigh) tak tandatangan pun sebab dia tandatangan deklarasi Kelantan. Dia dah 'u-turn' nak buat macam mana," katanya.

Razaleigh pada sidang akhbarnya semalam menyamakan majlis Deklarasi Kelantan untuk menyatakan sokongan kepada Najib seperti menandatangani buku kedatangan.

"Saya bergurau apabila buku itu dihantar kepada saya. Ia seperti buku kedatangan. Jadi saya tandatanganinya, walaupun ia sebahagian daripada majlis deklarasi itu," kata Razaleigh.

Ditanya mengapa beliau menandatangani deklarasi berkenaan, beliau berkata dirinya menandatangani sebagai ahli Umno dan ketua bahagian parti serta beliau tidak fikir ia mempunyai sebarang implikasi undang-undang.


Tiada ulasan: