Ahad, 20 Mac 2016

Azalina: Biasiswa JPA tak dimansuh, tapi ikuti pengajian dalam negeri

MALAYSIAKINI





Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan bahawa kerajaan tidak pernah memansuhkan sebarang biasiswa JPA seperti yang didakwa oleh pelbagai pihak, tetapi diteruskan untuk mereka mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama di dalam negara.

"Dengan ini saya ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah memansuhkan biasiswa JPA sebagaimana yang didakwa oleh pelbagai pihak.

"Bagi tahun 2016 sahaja kerajaan telah memperuntukkan RM1.65 bilion bagi menanggung biasiswa pelajar tajaan JPA.

"Saya dengan ini ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah dibatalkan apa-apa biasiswa JPA seperti yang didakwa oleh pelbagai pihak.

"Ini jelas menunjukkan kerajaan tidak pernah mengenepikan soal pendidikan, justeru, saya berharap semua pihak tidak mempolitikan isu ini dan mengelirukan rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azalina berkata berita mengenai jawapan Parlimen di mana beliau menyatakan anggaran jumlah kos dijimatkan bila kerajaan membatalkan 744 biasiswa untuk melanjut pelajaran ke luar negara adalah RM24 juta dan ia telah mendapat reaksi banyak pihak.

Ahli Parlimen Pengerang itu, yang juga menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal Parlimen, menjelaskan bahawa beliau menjawab soalan Teresa Kok, ahli Parlimen DAP Seputeh, mengenai jumlah kos yang dijimatkan bila kerajaan mmbatalkan biasiswa 744 pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke uar negara tahun ini.

"Walaubagaimanapun , penajaan kepada 744 pelajar tersebut diteruskan bagi membolehkan mereka mengikuti pengajian di peringkat ijazah pertama di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di dalam negara seperti yang diumumkan dalam pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari 2016," jelas menteri itu.

Katanya, kerajaan masih meneruskan penajaan kepada seramai 49,060 pelajar yang terdiri daripada 41,324 pelajar di dalam negara dan 7,736 pelajar di luar negara.

"Kerajaan akan mengeluarkan penerangan terperinci mengenai Program Tajaan JPA secara keseluruhan dalam masa terdekat," tambahnya.

Isu mengenai biasiswa kerajaan menarik perhatian baru-baru ini selepas didapati beberapa pelajar yang sepatutnya pergi belajar ke luar negara di bawah penajaan JPA diberitahu bahawa mereka tidak lagi akan dibiayai untuk pengajian luar negara, dan ini menimbul tidak puashati orang ramai.

Tiada ulasan: