Isnin, 7 Mac 2016

APA PUNYA BEBALLAH....

 shahbudindotcom

 

 
 
Cuba kita baca kenyataan Mohd Fuad Zarkashi yang kalah bertanding di kerusi Parlimen Batu Pahat dalam pilihanraya umum lalu, tetapi kemudian kerana kuat mengipas dan membodek, dilantik pula sebagai Ketua Pengarah Jasa sebagaimana yang disiarkan dalam sebuah portal berita yang tiga perenggan awalnya adalah seperti berikut:-

Motif serangan Tun Mahathir menjatuhkan Najib Razak adalah kerana mahukan anaknya, Mukhriz Mahathir menjadi Perdana Menteri, dakwa Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Mohd Fuad Zarkashi.

Beliau berkata, sebab itulah bekas Perdana Menteri berkenaan tidak menyebut siapa pengganti jika Najib meletakkan jawatan.

Beliau berkata, Tun Mahathir terlalu taksub dengan agenda Mukhriz menjadi Perdana Menteri sehingga sanggup melempar fitnah kepada Najib dan duduk semeja dengan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

Siapa pun yang membaca kenyataan Mohd Fuad ini pasti menyedari bahawa ia dengan jelas bermaksud apabila Najib berjaya diturunkan dalam tempoh terdekat ini,  calon yang akan diangkat sebagai penggantinya tidak lain ialah anak Tun Mahathir sendiri iaitu Mukhriz.

Sebab itulah, kononnya Tun Mahathir dalam gerakannya mahu menurunkan Najib, tidak menyebut siapa penggantinya kerana seolah-olah Mukhrizlah yang akan menjadi pertimbangan utamanya untuk dijadikan pilihan.

Lebih dari itu, Mohd Fuad juga berkata, disebabkan ketaksuban terhadap anaknya itulah  Tun Mahathir sanggup duduk semeja dengan Lim Kit Siang dan melemparkan fitnah kepada Najib.

Alahai...memang kesian dengan tahap pemikiran dan pengetahuan am Ketua Pengarah Jasa ini kerana beliau nampaknya masih tidak memahami bahawa untuk membolehkan seseorang itu dilantik sebagai Perdana Menteri, ia mestilah berkedudukan sebagai Ahli Parlimen.

Dalam hal ini, bagaimana Tun Mahathir mahu mengangkat Mukhriz menjadi Perdana Menteri sedangkan kedudukannya sekarang hanyalah sebagai Adun saja?

Mungkinkah Mohd Fuad ada "silap mata" yang tidak diketahui oleh sesiapa, termasuk Tun Mahathir bagaimana untuk membolehkan bukan Ahli Parlimen dilantik sebagai Perdana Menteri?

Kalau pun kenyataan itu untuk "spin" berita dengan tujuan mengelirukan rakyat, takkanlah begitu rendah tahapnya sehingga logik dan faktanya berterabur di sana sini., bahkan langsung tidak sesuai dengan martabat sebagai Ketua Pengarah Jasa.

Dengan sewenang-wenangnya mengatakan Mukhriz yang sekadar Adun pun boleh dilantik mengambil alih tempat Najib,  "kebebalan" ini tentunya mengundang ketawa besar makcik dan pakcik Felda di seluruh negara.

Mungkin ada yang terpacul kata-kata, macam ni punya "bebal"  pun boleh jadi Ketua Pengarah Jasa!!

Tetapi  jika selepas pilihanraya atau masa-masa selepasnya, apakah salah Tun Mahathir mengimpikan anaknya untuk menjadi Perdana Menteri atau jika Mukhriz sendiri memang bercita-cita begitu?

Ia tentunya tidak salah, tetapi dalam konteks menyingkirkan Najib ini sudah disebut berulang kali bahawa penggantinya akan ditentukan kemudian berdasarkan kesepakatan pihak-pihak yang berkepentingan dalam bertungkus lumus ke arah itu.

Jika sebelum pilihanraya Najib berjaya dijatuhkan, Mukhriz tidak akan tersenarai kerana kedudukannya sebagai Adun tidak melayakkannya untuk dicalonkan.

Selepas pilihanraya pula, prosesnya  masih lagi jauh dan tidak diketahui pun sama ada Mukhriz berjaya menang sebagai Ahli Parlimen atau pun tidak ketika itu dan mampu atau tidak blok Tun Mahathir yang sudah ada persefahaman dengan parti-parti pembangkang memenangi lebih kerusi Parlimen?

Namun, untuk pengetahuan Mohd Fuad, jika benar ketaksuban Tun Mahathir hanyalah untuk menjadikan anaknya sebagai Perdana Menteri, adalah lebih baik bekas Perdana Menteri itu terus melobi, mengipas dan membodek Najib siang dan malam tanpa menghiraukan apa isu yang melanda sekali pun.

Sudah tentu dengan kedudukannya sebagai negarawan yang berpengaruh dan dihormati, Najib lebih terhutang budi dah sedia memenuhi apa jua permintaannya.

Kenapa Tun Mahathir tidak sanggup berbuat demikian sedangkan ia lebih mudah, bahkan mungkin menjadikan beliau turut diberikan "dedak kelas A" bertimbun-timbun sepanjang masa oleh Najib?

Tidakkah ini menunjukkan matlamat menjadikan Mukhriz sebagai Perdana Menteri bukanlah keutamaan Tun Mahathir, malah beliau lebih sanggup memilih jalan susah semata-mata untuk menyelamatkan negara?

Selain itu, dengan mendakwa kerana ketaksuban ingin melihat Mukhriz menjadi Perdana Menteri turut menyebabkan Tun Mahathir memfitnah Najib juga langsung tidak benar sama sekali.

Apakah 1MDB, wang RM2,600 juta dan dana RM42 juta yang masuk ke akaun peribadi Najib yang kini merupakan tajuk perbualan di seluruh dunia adalah suatu fitnah daripada Tun Mahathir?

Akhirnya kepada Mohd Fuad, dalam ghairah membodek, mengipas dan mengampu Perdana Menteri,  sorok-soroklah sikit jika ada lagi "kebebalan"  lain yang masih berbaki dalam kotak pemikirannnya


Tiada ulasan: