Sabtu, 12 Mac 2016

Apa erti sebenar ‘deklarasi’ tajaan Dr Mahathir



Oleh Izmil Amri


Saya biarkan satu minggu berlalu supaya dapat menanggapi apa sebenarnya sentimen ramai terhadap langkah politik pemimpin pembangkang menandatangani Deklarasi Rakyat anjuran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ramai antara kita yang memberikan reaksi negatif, malah mencemuh pemimpin-pemimpin yang terlibat sebagai pengkhianat.

Tidak sukar untuk memahami kenapa reaksi begini terjadi. Dr Mahathir, sejak September 1998 adalah manifestasi iblis dan segala yang jahat di muka bumi. Dialah punca segala-galanya. Kenapa mahu bersekongkol dengan iblis?


Saya faham betul perasaan ini. Hampir sahaja serupa dengan rasa sentimental saya ketika restoran Nasi Kandar Line Clear membuka cawangannya di Kuala Lumpur. Saya terasa dikhianati dan ditipu. Kuala Lumpur bukan tempatnya untuk Line Clear. Sanggup Line Clear bersekongkol dengan Kuala Lumpur dan meninggalkan Pulau Pinang?

Mari kita perjelaskan sekarang supaya faham – bukan pembangkang yang gelojoh mahu bersekongkol dengan Dr Mahathir, bahkan beliau lah yang sudah tewas dan datang mendapatkan bantuan pembangkang.

Ya, Dr Mahathir, juara pembela umat, perdana menteri paling lama berkhidmat dan pemimpin Melayu Islam paling ulung sepanjang zaman ditewaskan kartel Datuk Seri Najib Razak, dan kini sedang berpaut pada talian hayat yang dirayunya daripada gerombolan pembangkang.

Ini kita kena jelas sebelum kita cuba merungkai apa yang terjadi petang Jumaat satu minggu lalu. Dr Mahathir tewas, tersudut dan hilang punca tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Selepas anaknya dibakulsampahkan di Kedah, kapal Dr Mahathir karam, tanpa perlu menunggu saat beliau mengumumkan keluar daripada Umno.

Bukan pembangkang yang berahi pergi mencari Dr Mahathir, malah beliau lah yang pergi mencari pemimpin pembangkang, mengaturkan pertemuan dan meminta petunjuk tentang langkah-langkah seterusnya.

Dr Mahathir bukan orang yang melawan. Beliau tidak tahu bagaimana untuk melakukan itu. Maka diperlunya bantuan daripada mereka yang pernah melawannya – termasuklah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Maria Chin Abdullah, Datuk S Ambiga, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan aktivis terkenal Hishamuddin Rais.

Deklarasi yang ditajanya Jumaat lalu juga bukanlah ikrar penubuhan sebuah koalisi politik yang jelas. Tidak ada ‘pakatan’ mahupun ‘barisan’ parti-parti politik yang berkiblatkan dan berindukkan Dr Mahathir bagi mengambil alih kuasa daripada rejim pimpinan Najib.

Deklarasi itu sekadar pernyataan yang Dr Mahathir memihak kepada pembangkang, dengan pendirian jelas menolak Najib sebagai perdana menteri, bersekali dengan keseluruhan Kabinetnya yang memikul tanggungjawab kolektif terhadap skandal kewangan terbesar negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan segala aliran tunai yang berkait dengannya.

Menandatangani deklarasi itu tidak bermakna Dr Mahathir diampunkan segala salah silapnya yang lalu. Senarai panjang dosa-dosa Dr Mahathir pastinya tidak boleh diampunkan dengan satu dokumen.

Menandatangani deklarasi itu juga tidak bermakna wujud sebarang “kerjasama” antara Dr Mahathir dan pemimpin pembangkang dalam melanjutkan agenda penambahbaikan institusi. Itu tidak akan berlaku sama sekali.

Dr Mahathir bukanlah orang yang boleh menjanjikan sebarang reformasi institusi. Dr Mahathir malah tidak mempunyai sebarang kuasa politik untuk melakukan apa-apa perubahan. Bahkan beliau tidak punya angka-angka yang perlu untuk membawa sebarang perubahan kepada pentadbiran negara, baik dari segi bilangan ahli Parlimen mahupun dari segi pengaruhnya di peringkat akar umbi Umno.

Ketiadaan “angka” di pihak Dr Mahathir adalah asas penting yang perlu kita faham dan hadam sebelum marah-marah dengan keputusan pemimpin pembangkang untuk menandatangani deklarasi anjurannya.

Selain pemimpin parti pembangkang, yang turut kena maki hamun ialah aktivis terkemuka Hishamuddin yang memang sejak azali memang tidak pernah sebulu dengan Dr Mahathir.

Tidak sedikit derita Hishamuddin akibat kerja buat Dr Mahathir. Namun bagi ikon kiri sepanjang zaman itu, derita yang ditanggung Malaysia adalah lebih besar berbanding derita peribadinya.

Barangkali beliau begitu teruja dengan deklarasi ini kerana ia satu kemenangan baginya, selepas kali pertama Dr Mahathir bersetuju dengannya sewaktu Bersih 4 lalu apabila menyebut jalan raya adalah satu-satunya cara untuk melengser sang perdana menteri yang penuh skandal.

Kini Dr Mahathir, Tan Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan segala juak mereka habis bersetuju dengan Hishamuddin dalam rangka besar melengser Najib dan angkatannya. Kesanggupan gerombolan Dr Mahathir ini untuk membawa diri mereka turun ke tahap Hishamuddin adalah sesuatu yang barangkali akan menjadi bualan guru subjek Sejarah SPM, 20 tahun lagi.

Jadi apa sebenarnya erti deklarasi tajaan Dr Mahathir itu? Apa kesannya terhadap politik negara dan sosok tubuh Najib sendiri? Goyang atau tidak?

Jawabnya tidak. Kita tidak perlu cepat melompat teruja kerana deklarasi itu tidak membawa banyak pemberat politik kerana:-

a) Najib tidak akan terkesan dengan sekeping dokumen, lagikan usaha-usaha pendakwaan terhadapnya pun boleh diselesaikan.

b) Deklarasi tersebut tidak menyediakan plan tindakan pengambilalihan.

c) Barisan Nasional masih punya majoriti di Dewan Rakyat.

Seminggu sudah berlalu dan kita tidak melihat sebarang kemajuan daripada deklarasi yang masih kita bahaskan sehingga ke hari ini. Jadi maksudnya apa?

Maksudnya kita marah sekadar marah, sepertimana deklarasi itu sekadar kertas yang tidak menjanjikan banyak benda selain pernyataan bersama menolak kepimpinan Najib. Itu saja.

Namun apa yang wajar diharapkan daripada deklarasi ini ialah terpecahnya sokongan akar umbi terhadap pentadbiran Najib, dengan kesan penuhnya membuahkan hasil pada pilihan raya akan datang.

Umno sedang mereput, dan ia sedang mereput dengan begitu cepat. Apa pun yang dilakukan Dr Mahathir demi menyelamatkan Umno tidak akan berhasil kerana parti itu sudah membusuk sehingga beliau sendiri harus keluar daripada parti baru yang diasaskannya. Umno akan mati, bersekali dengan mereka yang gigih mempertahankannya.

Dan ketika jasad yang mereput itu nanti akhirnya mati, bersegeralah ia dikambus supaya negara dapat bergerak pantas menyelesaikan masalah yang ditinggalkannya dan tidak terlalu lama meratap dan membuang masa mengenang kembali segala dosa-dosa parti itu.

Tiada ulasan: