Sabtu, 19 Mac 2016

Anwar-Mazlan gagal selesai saman secara baik, bicara 9 Mei depan

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Permatang Pauh, Dr Mazlan Ismail dan dua yang lain gagal diselesaikan secara baik. 
 
Sehubungan itu, kes saman berhubung dakwaan Mazlan mengeluarkan kenyataan fitnah dalam sidang akhbar pada 2 Ogos 2013, akan diteruskan dengan perbicaraan bermula 9 Mei ini. 
 
Peguam Sangeet Kaur yang mewakili Anwar ketika ditemui selepas prosiding kes sebentar tadi, berkata kes saman itu gagal diselesaikan selepas Mazlan dan dua yang lain selaku defendan tidak bersetuju dengan terma penyelesaian dicadangkan anak guamnya. 
 
Selain Mazlan, turut dinamakan sebagai defendan dalam kes saman itu ialah Sistem Televisyen Malaysia Bhd (TV3) dan Utusan Melayu (M) Berhad. 
 
Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 15 Oktober tahun lalu, Anwar berkata Mazlan secara salah dan dengan niat jahat mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya dalam satu sidang akhbar pada 2 Ogos 2013. 
 
Katanya, TV3 kemudian menyiarkan kenyataan fitnah itu melalui Buletin Utama pada jam 8 malam hari yang sama, manakala Utusan Malaysia pula menerbit dan mengedarkan tiga artikel fitnah sehari selepas itu. 
 
Plaintif berkata, tiga artikel itu bertajuk 'Dakwa Penasihat PKR simpan jutaan ringgit dalam beberapa akaun bank tempatan-Surat Misteri Anwar', 'Surat misteri dedah urus niaga Anwar dan Karpal, minta penjelasan - Mazlan' dan 'Laporan ditulis bekas pekerja Karpal Singh'. 
 
Sehubungan itu, Anwar menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada mengulangi atau menyiarkan semula perkataan fitnah itu.
 
 

Tiada ulasan: