Jumaat, 18 Mac 2016

Ancaman Jamal Yunos tak wakili Umno

Zulaikha Zulkifli  




Ancaman Pengerusi Gabungan NGO-NGO Selangor Datuk Jamal Md Yunos untuk membakar papan tanda “Selamatkan Anwar” tiada kena mengena dengan Umno, kata ketua penerangannya Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata, tindakan ketua Umno bahagian Sungai Besar itu adalah tindakan individu dan bukan mewakili parti.

"Kita negara ada undang-undang. Kalau dia ada langgar apa-apa undang-undang dia juga tidak terkecuali. Tapi saya tak pasti apa undang-undang dia dah langgar.

"(Tapi) tindakan dia bukan mewakili Umno Malaysia dan itu tindakan individu.

"Umno tak bincang perkara itu dan itu bukan dasar dan keputusan Umno Malaysia.

Tindakan dia atas tindakan diri dia sendiri," katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita berhubung tindakan Jamal serta beberapa ahli kumpulannya yang mengancam untuk membakar papan tanda “Selamatkan Anwar” di sekitar Ampang Rabu lalu.

Dua hari lalu, Jamal bersama kira-kira 80 orang pengikutnya mengancam untuk membakar papan tanda yang menyeru pemimpin PKR itu dibebaskan.

Bagaimanapun, papan tanda itu tidak dibakar sebaliknya kumpulan itu menggantungkan sebuah kain rentang dengan maklumat berhubung kelakukuan liwat di papan tanda tersebut sehingga berlaku sedikit 'kekecohan' pada Rabu lalu.

'Saya tak berapa kenal IKATAN'

Sementara itu, ditanya mengenai blok pembangkang antara PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Annuar berkata beliau menghormati tindakan parti Islam itu yang dianggap sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum.

"Saya fikir saya tak boleh komen sebab saya tak berapa kenal IKATAN ini apa dia? Saya rasa masyarakat boleh buat penilaian sendiri.

"Itu kaedah PAS, itu hak mereka. Dalam negara ini semua orang boleh buat cara mereka yang mereka fikir sepatutnya. Saya hormati kebebasan masing-masing untuk persiapan pilihan raya umum," katanya.


Tiada ulasan: