Khamis, 24 Mac 2016

Ahmad Bashah hulur 'salam damai' dengan penyokong bola sepak

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berhasrat untuk 'berdamai' dengan penyokong bola sepak negeri itu selepas dilantik sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
 
Langkah itu susulan sambutan 'dingin' penyokong skuad Helang Merah terhadap Menteri Besar yang baharu dilantik itu khususnya ketika beliau hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Darul Aman baru-baru ini.
 
Menurut sumber di Alor Star, Ahmad Bashah mahu KFA menjalinkan hubungan baik dengan semua kelab penyokong yang aktif di negeri itu termasuk Kelab Penyokong Kedah (Kepak) serta Ultras Kedah.
 
"Menteri Besar bersedia untuk memberi sokongan padu dan berhasrat untuk bekerjasama dengan semua kelab penyokong di Kedah.
 
"Tapi beliau meletakkan syarat supaya mereka mendaftar sebagai satu kelab yang sah," kata sumber itu kepada mStar Online di sini, Rabu.
 
Difahamkan Ahmad Bashah sedia mengeluarkan peruntukan kewangan melalui KFA supaya kelab penyokong Helang Merah itu bergerak dengan lebih sistematik dan terkawal.
 
Menurut sumber itu lagi, selain bantuan kewangan, KFA juga sedang mempertimbang untuk untuk menyediakan bas bagi kegunaan kelab penyokong ketika pasukan Kedah beraksi di luar Stadium Darul Aman.
 
KFA akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada Khamis di Wisma Darul Aman bagi melantik Ahmad Bashah sebagai presiden.
 
Pada 1 Mac lalu, Ahmad Bashah dimalukan apabila segelintir penyokong Kedah bertindak menyorak 'boo' ketika namanya disebut sewaktu hadir menyaksikan perlawanan Liga Super antara pasukan Kedah menentang Kelantan.
 
 

Tiada ulasan: