Selasa, 8 Mac 2016

Adenan: Pembubaran DUN S'wak 'pada bila-bila masa sekarang'

ANTARAPOS.COM


Post Pic
  
 
KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata beliau amat berkeyakinan dan optimis dalam memimpin Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya negeri ke-11, yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja sekarang.
 
"Ini bukan kali pertama saya terlibat dalam pilihan raya negeri, sudah tentulah sebagai calon dan disebabkan pengalaman itu dan sebagai ketua menteri yang memimpin pilihan raya negeri akan datang, saya berasa amat berkeyakinan dan optimis," kata Adenan.
 
Ketua menteri bercakap kepada media selepas merasmikan seminar persediaan pilihan raya negeri ke-11 bagi kawasan DUN Sebuyau dan Beting Maro dihadiri lebih 300 anggota parti di Kuching, Ahad.
 
Ditanya tentang pembubaran DUN yang akan memberi laluan untuk diadakan pilihan raya negeri ke-11 sebelum Jun tahun ini, Adenan yang juga Pengerusi BN Sarawak berkata: "Pada bila-bila masa saja sekarang."
 
Katanya jentera pilihan raya BN Sarawak kini bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya itu.
 
Dalam sidang akhbar itu juga, Adenan mengumumkan bahawa penyandang kerusi DUN Beting Maro Razali Gapor dan DUN Sebuyau Datuk Julaihi Narawi, akan dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi masing-masing.
 
Terdahulu, ketika berucap, Adenan memberitahu anggota parti supaya bekerja lebih keras untuk menghadapi pilihan raya negeri bagi meraih kemenangan lebih besar.
 
Beliau turut menasihati pemimpin dan anggota parti supaya tidak bertelagah merebut jawatan yang akan mengakibatkan perpecahan dalam parti.
 
 

Tiada ulasan: