Isnin, 21 Mac 2016

Adenan akan 'tenggelam' jika rapat dengan Najib - DAP

Adrian Wong  




Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem telah mengambil langkah yang salah apabila memilih untuk rapat dengan Perdana Menteri yang sedang dilanda masalah, Datuk Seri Najib Razak dalam usaha untuk menarik sokongan rakyat Sarawak dalam pilihan raya negeri akan datang, kata seorang pemimpin kanan DAP.

Pengarah pendidikan politik nasional DAP, Liew Chin Tong berkata, ini kerana di mata rakyat, Najib disamakan degan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang telah membebankan mereka sejak pelaksanaannya April lepas.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini, Liew berkata beliau hairan dengan perubahan pendirian Adenan - dari mengekalkan jarak yang sihat dari Najib sebelum ini - kepada secara terbuka menyokong perdana menteri yang sedang diselubungi skandal.

Disember tahun lalu, Adenan berkata, kerajaan negeri BN akan terus menyokong Najib kerana beliau tidak pernah didapati bersalah atas sebarang salah laku berhubung 1MDB.

Minggu lepas, Adenan secara terbuka memberitahu satu perhimpunan bahawa Najib adalah seorang pemimpin negara yang hebat dan dia sepatutnya menjadi perdana menteri Malaysia "sampai kiamat".

"Beliau sayang negeri Sarawak, ambil berat kepada kita dan kita pun sayang kepada beliau dan mudah-mudahan beliau jadi PM sampai kiamat," Adenan dilaporkan berkata dalam satu majlis.

Bagaimanapun, Liew (gambar) berpendapat bahawa itu tidak bagus bagi Adenan terutamanya ketika ketua menteri itu mula kehilangan sinarnya apabila hari pengundian tiba.

"Adenan telah membina momentum sejak beliau mengambil alih jawatan (pada bulan Februari 2014). Tetapi ada sesuatu yang seolah-olah tidak kena dalam tempoh dua bulan lalu. Sudah tentu, terdapat masalah banjir. Dia seolah-olah telah kehilangan sinarnya.

"Oleh itu, saya tidak dapat memahami strategi beliau untuk rapat dengan Najib," kata Liew.

'Undi Iban, Cina terjejas'

"Walaupun rakyat mungkin tidak terjejas oleh 1MDB dan kemelut RM2.6 bilion, tetapi GST telah memberi kesan kepada mereka. Ke mana-mana saya pergi (di Sarawak), rakyat mengadu, kesannya amat mendalam.

"Jadi, apabila Adenan merapatkan dirinya kepada Najib, ini menjadi satu masalah.

"Ini tidak baik untuk Adenan, kerana Najib adalah (sinonim dengan) GST. Sekarang terdapat masalah dengan undi masyarakat Iban. Najib akan menjejaskan undi orang Cina ketika dia bersama Adenan.

"Mesej di sebalik (hubungan itu) adalah Najib agak bimbang tentang (BN tidak mempunyai cengkaman yang kukuh) di 25 kerusi Parlimen di negeri itu," kata Liew, yang juga ahli Parlimen Kluang.

BN Sarawak memenangi 25 daripada 31 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum 2013 dan menang di 55 daripada 71 kerusi negeri dalam pilihan raya negeri pada 2011.

Liew berpendapat bahawa Najib lebih memerlukan Adenan untuk mengekalkan kuasa - malah lebih daripada Adenan memerlukan Najib.

"Mungkin apa yang ada dalam fikirannya ialah apa yang Najib akan beri kepadanya. Tetapi sebaliknya, apa yang dia mahu?" tanya Liew.

"Dengan pilihan raya negeri tidak lama lagi dan Dewan Undangan Negeri dijangka dibubarkan pada bila-bila masa, Adenan masih belum dapat menyelesaikan rundingan agihan kerusi di kalangan parti komponen BN, dan ini tidak akan berlaku semasa era pendahulunya Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

"Ini hanya menunjukkan bahawa momentumnya semakin lemah," kata Liew membuat kesimpulan, sambil menambah ia masih merupakan satu perjuangan yang sukar untuk pembangkang.

Beliau mengakui bahawa Adenan akan mempunyai kelebihan mutlak jika dia membubarkan Dewan Undangan Negeri setahun yang lalu, ketika tidak ada GST dan Najib tidak begitu membebankan BN Sarawak.

Tiada ulasan: