Khamis, 24 Mac 2016

18 bintang dangdut mahu ubah sepi 15 tahun

Nadia Azam  




Berazam mengukuhkan kembali irama dangdut Malaysia, penyanyi Ifa Raziah memasang matlamat untuk mewarnai semula industri itu yang semakin sepi.

Baru saja menubuhkan Persatuan Bintang Dangdut Malaysia, selalu presiden, Ifa mahu menjadikan NGO itu sebagai platform bersama artis lain.

“Saya menubuhkan persatuan ini kerana selepas 15 tahun irama dangdut dikatakan menyepi. Kami mahu bangkit dan buktikan kepada umum rentak ini masih boleh diketengahkan.

“Segalanya bermula selepas lagu 'Sakitnya Tuh Di Sini' menjadi viral. Ia membuatkan kami berfikir mengapa tidak kalau irama dangdut kembali mekar,” katanya.

Beliau ditemui selepas pengumuman lima calon teratas bagi 13 kategori Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-29 di Kuala Lumpur semalam.

Ifa tercalon dalam kategori Artis Versatil Popular di samping Awie, Didie Alias, Abam dan Ajak Shiro.
'Semangat macam 18 juta orang'

“Sakitnya Tuh Di Sini” dipopularkan pada 2014 oleh artis Indonesia Cita Rahayu atau lebih dikenali sebagai Cita Citata.

Akibat penangan lagu berkenaan, Ifa berhasrat populariti irama dangdut sebaris dengan genre lain.

Bukan itu saja, Ifa juga berharap irama berkenaan diiktiraf dan mendapat pencalonan dalam carta muzik atau anugerah berprestij industri tanah air.

Persatuan Bintang Dangdut Malaysia dianggotai 18 artis, antaranya Amelina, Ani Mayuni, Haiza dan Sheeda.

Ifa, penyanyi “Ser Ser Ser” itu berkata, walaupun anggota persatuan berkenaan tidak ramai, mereka memiliki semangat tinggi.

“Walaupun bilangan anggota kami sedikit, semangat kami besar macam 18 juta orang,” katanya.


Tiada ulasan: