Rabu, 3 Februari 2016

Umno Kedah buang tangga, hayun kaki!

Umno Kedah buang tangga, hayun kaki!
Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehudin Ibni Sultan Badlishah (kanan) diiringi Mukhriz selepas perjumpaan dengan Adun BN di Wisma Darul Aman, Alor Setar, kelmarin.
 

PETANG semalam,  15 Adun pembangkang Kedah menghadap Jemaah Pemangku Sultan di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Mereka dipanggil menghadap sehari selepas 21 Adun BN diarah melakukan perkara yang sama. Difahamkan, panggilan menghadap dihantar kepada Adun-Adun pembangkang Kedah lewat petang hari yang sama.

Apa yang ada dalam pemikiran ramai orang, kemelut politik yang sedang melanda negeri itu seharusnya boleh diselesaikan dengan mudah selepas Jemaah Pemangku Sultan menerima menghadap 21 Adun BN untuk mendapatkan maklum balas sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan desakan pengguguran Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah.

Dikatakan mudah kerana sebelum arahan menghadap itu dibuat, 19 Adun BN Kedah dilaporkan sudah pun menandatangani akuan bersumpah menyatakan persetujuan untuk Mukhriz melepaskan jawatan.

Ini ditambahkuatkan lagi dengan pengakuan yang sama yang dikatakan telah dibuat di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perjumpaan di kediaman beliau di Kuala Lumpur pada 31 Januari.

Daripada jumlah keseluruhan 36 Adun Kedah, sokongan 19 Adun sudah mencukupi untuk diterima pakai sebagai keputusan rasmi dengan majoriti mudah.

Bagaimanapun apa yang mengejutkan, dalam pertemuan kelmarin, sebilangan daripada 19 Adun BN yang menandatangani akuan bersumpah itu dikatakan telah berpaling tadah.

Mereka menyokong untuk Mukhriz dikekalkan berbanding pendirian sebelumnya.

Ini yang dipercayai menjadi punca mengapa Jemaah Pemangku Sultan kemudiannya membuat keputusan untuk memanggil menghadap Adun-Adun pembangkang pula untuk mendapatkan maklum balas mereka.

Dun Kedah mempunyai 15 kerusi pembangkang iaitu Pas (8), PKR (4), DAP (2) dan Amanah (1).

Petang semalam, 15 Adun pembangkang Kedah telah mengeluarkan kenyataan bersama menyatakan sokongan mereka terhadap Mukhriz dan mahu beliau dikekalkan sebagai menteri besar.

Ini sekali gus meletakkan keadaan menjadi bertambah rumit kerana di sebelah BN, bilangan Adun yang mahu Mukhriz digugurkan,  dianggarkan masih ramai. Cuma yang menyebabkan Jemaah Pemangku terpaksa memanggil Adun pembangkang semalam kerana bilangan Adun BN yang menolak Mukhriz gagal mencapai majoriti mudah, iaitu 19.

Justeru, apabila Adun pembangkang secara konsensus menyokong Mukhriz, adakah angka ini berupaya mencapai jumlah majoriti?

Tidak semestinya juga.

Ini kerana kita tidak tahu berapa ramai yang menyokong beliau di sebelah BN. Ada kemungkinan bilangan yang menyokong dan tidak menyokong Mukhriz dalam kalangan Adun adalah sama banyak. Ini bermakna usaha menyelesaikan kemelut ini masih buntu.

Tengah hari kelmarin, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan kemelut politik Kedah perlu diselesaikan mengikut lunas demokrasi iaitu dengan cara mengembalikan mandat kepada sidang Dun untuk membuat keputusan.

Dalam kata lain, Pas mahu masalah itu segera diselesaikan dengan Speaker Dun memanggil satu sidang khas   untuk memberi ruang kepada Adun mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Mukhriz.

Dengan itu, pengundian boleh dilakukan untuk menentukan sama ada beliau masih mendapat sokongan ataupun  tidak.

Apabila dibawa ke sidang Dun, andai bilangan yang menyokong dan tidak menyokong Mukhriz sama banyak, undi penentu adalah di tangan Speaker.

Andai kata beliau tewas dalam pengundian, Mukhriz tidak dapat tidak harus meletak jawatan sebagaimana kehendak sistem dan perundangan.

Bagaimanapun setakat ini, Speaker Dun Kedah, Datuk Md Rozai Safian dilihat masih tidak menunjukkan sebarang kecenderungan untuk memanggil sidang Dun tergempar.

Dalam satu kenyataan, beliau pernah menyatakan bahawa apa yang sedang berlaku adalah masalah dalaman parti dan “masalah dalaman akan diselesaikan secara dalaman”.

Justeru menurut beliau,  memanggil sidang khas Dun adalah tidak perlu. Bagaimanapun kenyataan itu dibuatnya awal sewaktu kemelut itu baru sahaja bermula.

Bagaimanapun dengan apa yang berlaku petang semalam, dan jika andaian saya benar bahawa jalan penyelesaian bagi masalah itu masih gagal dicapai setelah Jemaah Pemangku Sultan memanggil kesemua Adun BN dan pembangkang menghadap, maka sidang khas Dun Kedah dikira perlu untuk memuktamadkan segera krisis itu.

April

Kita tidak boleh menunggu hingga April iaitu jadual persidangan Dun yang paling hampir untuk usul undi tidak percaya terhadap Mukhriz dikemukakan.

Ini tempoh masa yang terlalu lama dan tidak mungkin apa yang sedang berlaku, boleh dibiarkan terus berlarutan.

Seorang pemimpin kanan Pas Kedah yang saya hubungi malam kelmarin menyatakan, parti itu sejak awal menolak kaedah menurunkan Mukhriz secara tidak beradab dan tidak demokratik, dan lebih percaya mandat harus dikembalikan kepada sidang khas Dun untuk membuat keputusan.

 “Kita sejak awal tidak bersetuju dengan cara menggunakan SD (akuan bersumpah) kerana itu kaedah ‘pintu belakang’, tidak mengikut peraturan.

“Malangnya kaedah itu telah menjadi precedent (duluan) kerana dipakai dalam krisis di Perak dulu.

Pendirian Pas mahu apa yang berlaku di Kedah ini diselesaikan dengan cara bawa ke sidang khas Dewan Negeri (Dun) untuk menentukan sokongan terhadap Mukhriz sebagai menteri besar,” katanya.

Benarlah, penyelesaian konflik yang sedang berlaku di Kedah kelihatan semakin rumit, tidak seperti apa yang dijangka awalnya.

Ahmad Bashah, yang pada awalnya disebut-sebut akan naik dengan mudah menggantikan Mukhriz, kini semakin tenggelam.

Kebuntuan pertemuan Jemaah Pemangku Sultan Kedah dengan Najib di Kuala Lumpur pada 29 Januari, membawa peluang Ahmad Bashah semakin tipis.

Ini ditambah dengan berpaling tadahnya sebilangan Adun BN yang sebelum itu telah pun menandatangani akuan bersumpah menyokong penyingkiran Mukhriz. 

Kita bagaimanapun tidak dapat memastikan sama ada yang berubah pendirian ketika menghadap Jemaah Pemangku Sultan kelmarin adalah daripada kalangan anggota exco, ataupun bukan!

Melihat pada perkembangan setakat ini, kesudahan episod yang sedang berlaku memang sukar diramalkan.

Pertembungan sentimen rakyat Kedah yang hampir keseluruhannya menyokong (atau bersimpati terhadap) Mukhriz menyebabkan jalan penyelesaian semakin rumit.

Kalangan Adun BN pada mulanya mungkin sekadar mengikut arus untuk menyokong penyingkiran Mukhriz kerana percaya atau terpengaruh bahawa grand design yang mengatur tindakan itu datangnya dari Putrajaya.

Muslihat

Bagaimanapun setelah menilai bantahan rakyat yang rata-ratanya mahu Mukhriz dikekalkan malah ada kalangan ahli Umno sendiri yang membawa sepanduk ‘HANGPA TUKAQ, KAMI KALIH’, Adun-Adun ini mungkin baru tersedar bahawa survival politik mereka berada dalam tangan rakyat, bukan semata-mata Putrajaya.

Ini bukanlah hanya berkaitan dengan kedudukan mereka malahan Kerajaan BN Kedah juga. Menggantikan Mukhriz yang mendapat sokongan rakyat pada ketika parti dalam keadaan lemah, diumpamakan seperti menyerahkan negeri begitu sahaja kepada pembangkang untuk memerintah selepas pilihan raya akan datang.

Seorang ahli politik Umno dari negeri jiran, Perlis, Datuk Hashim Suboh ketika mengulas kemelut politik Kedah mengungkapkan: “Jika Mukhriz dan exco  yang masih setia dengannya melakukan political maneuvering (muslihat politik)  bersama dengan Adun  pembangkang, akan berlaku senario 'buang tangga, hayun kaki' di Kedah.

(Mereka) menyerang pada masa yang salah, tersalah hitung kekuatan yang dimiliki, berfikir hanya dari kotak kebiasaan serta memandang rendah kekuatan musuh. Ini biasanya akan mengundang tragedi.

Saya rasa bola masih di kaki Mukhriz.  Sama ada Mukhriz memilih untuk ikut ‘bermain’ atau memilih untuk keluar dari padang, ia akan mencorakkan nasib BN di Kedah dalam PRU akan datang.," katanya.

Seorang pemimpin Umno Kedah ketika saya hubungi semalam berkata Mukhriz mungkin boleh dikekalkan sebagai menteri besar, tetapi jawatan pengerusi Umno negeri perlu dikembalikan kepada Ahmad Bashah.

“Walaupun nampak seperti tidak senada, itulah yang sebaik-baik boleh dilakukan untuk mengawal sentimen rakyat, setidak-tidaknya sampai habis penggal,” katanya.

Tiada ulasan: