Selasa, 2 Februari 2016

Tunjuk bukti saya sesatkan umat Islam – Asri

 
Ia dipercayai berpunca daripada tuduhan seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri dalam satu video yang diedarkan di talian


Mohd-Asri_maij_600


PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) digesa supaya mengemukakan bukti bagi menunjukkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin didakwa telah mengelirukan umat Islam.

Selain itu, bukti tersebut perlu menunjukkan bersama bahawa beliau menyesatkan dan tidak sealiran dengan ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mohd Asri yang memberikan respons terhadap perkara itu menerusi aplikasi Whatsapp kepada Malaysiakini mendakwa, individu yang menyatakan bahawa MAIJ melarang beliau daripada berceramah di negeri itu telah melakukan satu fitnah.

“Ia adalah satu fitnah. Saya mencabar pihak pemfitnah itu membuktikannya. Saya rasa, mereka patut disaman fitnah.

“Bahkan, semua yang terlibat patut bersatu mengambil tindakan undang-undang kepada pihak berkenaan. Rakyat Malaysia boleh membaca tulisan saya di internet. Apakah mereka menemui hal yang seperti ini?,” kata Mohd Asri.

Satu salinan yang kelihatan seperti dokumen oleh MAIJ kepada Sultan Johor, menyenaraikan 16 orang individu yang didakwa sebagai penceramah menimbulkan kekeliruan umat Islam dan tidak berteraskan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Imej salinan dokumen tersebut diedarkan melalui Whatsapp dan mempunyai tulisan `setuju’ bertarikh 31 Disember 2015 di sebelah atas kanan dokumen itu.

Selain bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu, antara nama lain yang dihalang daripada berceramah di Johor ialah Exco Pemuda Umno dan penceramah bebas Dr Fathul Bari Mat Jahaya.

Menurut imej salinan dokumen itu, antara bentuk pengeliruan yang didakwa dilakukan Mohd Asri ialah didakwamemfitnah institusi mufti dan memperlekehkan ulama bermazhab Syafie.

Mengulas lanjut, Asri percaya tuduhan itu dibuat berdasarkan dakwaan seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri dalam satu video yang diedarkan di talian.

Dokumen itu juga menyebut bahawa terdapat sebilangan penceramah yang datang dari luar Johor yang berceramah atau mengajar agama Islam di masjid, surau atau tempat awam boleh menimbulkan kekeliruan dan membibitkan perpecahan masyarakat khususnya umat Islam.

Sehubungan itu, Mohd Asri berkata, tindakan yang dilakukan oleh MAIJ dilihat sebagai memalukan kerana mengambil sesuatu tindakan tanpa usul periksa.

Tiada ulasan: