Sabtu, 13 Februari 2016

Tony Pua: Pengerusi PAC patut hormati kerjaya wartawan

images
Oleh Syazana Hasanudin

 
KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua kesal berikutan pengamal media dilarang memasuki kawasan Parlimen semasa prosiding terakhir Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semalam.

Beliau berkata, mereka tidak wajar dibiar berdiri di luar kawasan Parlimen oleh Pengerusi PAC, Datuk Hasan Ariffin walaupun tiada sidang media pada hari itu kerana mereka hanya menjalankan tugas.

“Saya kasihan kepada wartawan yang terpaksa berdiri di bawah terik matahari kerana dilarang masuk ke kawasan Parlimen.

“Walaupun tiada sidang media, tidak salah jika Pengerusi PAC membenarkan wartawan yang mengharapkan komen pihak terlibat menunggu di kawasan lebih selesa,” katanya pada Roketkini.

Setiausaha Publisiti DAP itu berkata demikian ketika mengulas insiden pengamal media dilarang memasuki kawasan Parlimen dan terpaksa menunggu bawah panas matahari atas arahan Pengerusi PAC semasa prosiding terakhir agensi itu berkenaan skandal 1MDB.

Sebelum ini, pengamal media di Malaysia kerap disekat dari membuat liputan, antaranya Perhimpunan Agung UMNO 2015 dan pelancaran Puteri DIAN hingga mendapat kritikan kumpulan wartawan dan media seperti Gerakan Media Marah (GERAMM).

Malah, wartawan dan editor media juga berdepan hukuman secara perundangan berikutan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mahu Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) diperketat dengan memaksa pengamal media mendedahkan sumber berita.

Tiada ulasan: