Rabu, 10 Februari 2016

TMJ cabar pihak tak puas hati berdebat

 
Debat itu merangkumi polisi, projek, korupsi dan apa sahaja isu mengenai bola sepak tempatan. 


tmj453


PETALING JAYA : Tunku Mahkota Johor (TMJ), Brigadier Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim mencabar pihak yang tidak berpuas hati dengan kenyataannya berkaitan bola sepak agar berdebat secara terbuka di televisyen.

Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, debat secara langsung itu merangkumi polisi, projek, rasuah dan apa sahaja isu mengenai bola sepak.

“Dan di situ anda boleh membuktikan bahawa saya salah. Berada dalam penafian tidak akan meletakkan anda di mana-mana dalam kehidupan.

“Beberapa pegawai dan peminat bola sepak Malaysia menafikan hakikat itu, tetapi seluruh dunia mengenali potensi saya, wawasan dan pencapaian, ” katanya menerusi Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

TMJ berkata, disebabkan itu ramai daripada mereka sanggup bekerja dengannya dan bukan orang lain yang terlibat dalam bola sepak Malaysia.

“Ini adalah fakta. Saya tidak mempunyai apa-apa jawatan mengarut dalam bola sepak Malaysia atau FIFA untuk dunia mengenali saya dan apa yang saya lakukan. Jadilah bijak. Berfikir dengan kepala anda dan bukan dengan emosi anda,” katanya.

Dalam perkembangan lain, TMJ turut menggesa pasukan bola sepak yang terlibat dalam isu tidak membayar gaji pemain agar menyelesaikan perkara terbabit.

Menurutnya, pemain yang tidak dibayar gaji itu adalah manusia dan bukannya ternakan.

“Untuk Tan Sri Annuar Musa, saya percaya bahawa anda adalah seorang ahli politik yang berpengalaman dan sudah tentu anda tahu apa perkara yang betul untuk dilakukan.

“Untuk Datuk Affendi, Datuk Mokhtar, Datuk Rozabil, Datuk Hamidin dan semua ahli Exco FAM. Ambil perhatian kepada apa yang saya katakan. Saya memerhatikan anda.

“Hidup supaya apabila anak-anak anda fikirkan tentang keadilan, kasih sayang dan integriti, mereka memikirkan anda,” tegasnya.

Tiada ulasan: