Ahad, 28 Februari 2016

TH lapor polis, Rafizi didesak tunjuk bukti

Lembaga Tabung Haji
.


SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) membuat laporan polis hari ini selepas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa agensi tersebut memberi jaminan korporat kepada sebuah syarikat bersekutunya, TH Heavy Engineering Berhad (THHE).

Menafikan dakwaan tersebut, Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat TH menerusi kenyataan hari ini meminta Rafizi menamakan bank yang memberi pinjaman kepada THHE sebagai bukti dakwaan terbabit.

‎TH juga turut menuntut Rafizi mengemukakan bukti surat jaminan korporat seperti yang didakwa oleh Rafizi.

"Kami amat kesal dengan penyebaran dokumen-dokumen menerusi laman sosial secara rambang dan tuduhan tidak berasas serta berunsur fitnah.

"Dakwaan tersebut jelas memberi impak negatif kepada TH dan akan menjejaskan kepentingan para pendepositnya," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut pihak TH lagi, laporan tersebut dibuat bagi menjaga kepentingan reputasi TH sebagai sebuah institusi Islam di negara ini.

Sebelum ini, Rafizi menegaskan terdapat jaminan korporat diberikan TH kepada THHE.

Beliau dalam pada itu turut melampirkan surat didakwa daripada kerajaan kepada pegawai kanan TH pada Disember lalu berkaitan dakwaannya itu.

Tiada ulasan: