Rabu, 3 Februari 2016

Tabung Haji dahulukan bayaran untuk selamatkan Putra Perdana Berhad?

Screen Shot 2016-01-28 at 11.41.54 (Custom)

Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mempersoal sama ada Lembaga Urus Tabung Haji mendahului sejumlah wang kepada Putrajaya Perdana Bhd untuk membayar RM140 juta SRC International.

Beliau berkata, ia berikutan Tabung Haji membeli 30 peratus kepentingan dalam Putrajaya Perdana Bhd pada November 2014 dengan jumlah tidak didedah sebelum Putrajaya Perdana Bhd membayar kembali RM140 juta kepada SRC International.

Katanya, pembayaran Putrajaya Perdana Bhd itu dibuat melalui anak syarikatnya, Putra Perdana Construction pada Disember 2014, sebulan selepas Tabung Haji membuat pembelian kepentingan itu.

“Mengapa Tabung Haji memperoleh 30 peratus kepentingan daripada Putrajaya Perdana Bhd dan berapakah jumlah dibayar bagi mendapatkannya? Siapakah sebenarnya pemilik Putrajaya Perdana?

“Adakah Tabung Haji cuba ‘menyelamatkan’ Putrajaya Perdana Bhd dengan membayar kembali wang RM140 juta yang dipindahkan SRC International sebelum itu?” katanya pada kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali secara tidak sengaja mendedahkan pemindahan RM140 juta oleh syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, SRC International kepada dua anak syarikat Putrajaya Perdana Bhd pada sidang akhbar minggu lepas.

SRC Internatisonal memindah RM5 juta kepada Putra Perdana Development Sdn Bhd, selain RM105 juta dan RM30 juta dipindah secara berasingan kepada Putra Perdana Construction yang semuanya disalur kepada Putrajaya Perdana Bhd.

Pua berkata, Kementerian Kewangan gagal menjelaskan alasan RM140 juta dipindah kepada Putrajaya Perdana Berhad sedangkan SRC International sebelum ini menyatakan perniagaannya ialah pelaburan dalam sumber asli dan sektor tenaga di luar negara.

“Mengapa SRC International mendahulukan RM140 juta kepada Putrajaya Perdana Bhd? Siapakah yang memberi kebenaran?” kata Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu.

Beliau berkata, Putrajaya Perdana Bhd sebelum ini dibeli Abu Dhabi Kuwait Malaysia Investment Corporation (ADKMIC) yang ada kaitan dengan Jho Low sebelum dijual pada 2007 kepada UBG Bhd yang ada hubungan Tun Taib Mahmud.

Katanya, ADKMIC kemudian membeli saham majoriti dalam UBG Berhad sebelum ia diperoleh PetroSaudi International Limited (Seychelles) dengan jumlah RM1.4 bilion iaitu USD 500 juta dibiayai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada September 2010.

“Pada masa itu, orang kanan Jho Low, Nik Faisal Ariff Kamil bukan sahaja Pengarah Eksekutif Pelaburan bagi UBG tetapi Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB, dan kemudian menjadi Pengarah Urusan SRC International selepas ia ditubuh pada  2012.

“Putrajaya Perdana dilapor dijual kepada Cendana Destini Sdn Bhd pada September 2012 tetapi  pemilikan sebenar tidak jelas kerana rekod di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan pemegang sahamnya atas penama AmSec Nominess (Tempatan).

“Pendedahan tidak disengajakan Apandi itu membongkar keseluruhan kaitan antara syarikat-syarikat itu dengan 1MDB dan Jho Low. Ia juga menimbulkan persoalan baru dan soalan tidak berjawab mengenai isu itu,” katanya.

Pua berkata, semua pihak terlibat termasuk Tabung Haji, SRC International, Datuk Seri Najib Razak sebagai Menteri Kewangan dan Apandi mesti memberi penjelasan penuh dan bukannya patut berpura-pura jahil dan tidak tahu berkenaan skandal itu.

Tiada ulasan: