Isnin, 1 Februari 2016

SIAPA PULA SELEPAS SWITZERLAND?

 shahbudindotcom

 

 
 
 
Walaupun kedudukan Najib Razak kelihatan selamat di dalam negara berikutan keputusan Peguam Negara membebaskannya daripada sebarang salah laku jenayah berkaitan kemasukan wang beribu-ribu juta ke akaun peribadinya, isu berkaitan 1MDB nampaknya belum berakhir lagi.

Ini berikutan pejabat Peguam Negara Switzerland tiba-tiba mendedahkan telah menemui bukti berkaitan pemindahan wang yang mencurigakan berjumlah kira-kira RM16,800 juta yang dikaitkan dengan 1MDB melalui institusi kewangan negara itu.

Sehubungan itu, bukti penting tersebut akan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara Malaysia dalam masa terdekat ini, sambil Peguam Negara Switzerland berharap bantuan selanjutkannya akan diberikan bagi menentukan kebenaran tentang penemuan tersebut.

Sementara kita semua menanti-nanti apakah bukti penting yang dimiliki oleh pejabat Peguam Negara Switzerland itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua semalam segera menyoal apakah derma RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadi Najib merupakan sebahagian daripada wang yang ditransaksi secara haram yang berjumlah RM16,800 juta itu?

Sehingga ini, soalan Tony Pua itu belum lagi dijawab sama ada oleh 1MDB mahu pun Peguam Negara, Apandi Ali.

Berkaitan penemuan oleh pihak berkuasa Swirzerland pula, 1MDB hanya memberikan "jawapan selamat"  iaitu mereka tidak pernah dihubungi oleh mana-mana pihak untuk bertanyakan lebih lanjut berkaitan perkara itu.

Tetapi, agak pelik mengapa 1MDB tidak berani menyanggah secara terang-terang penemuan bukti yang diperolehi oleh Peguam Negara Switzerland itu sebagaimana yang kerap dilakukan sebelum ini demi memperlihatkan syarikat itu benar-benar tidak ada "kong-kali-kong" dalam urusniaganya.

Persoalan juga timbul, apakah transaksi haram yang ditemui oleh Peguam Negara Switzerland itu turut sama dapat dikesan oleh Ketua Audit Negara yang sedang melakukan audit terhadap 1MDB?

Begitu juga, apakah isu berkaitan wang sebanyak RM16,800 juta itu akan turut menjadi fokus kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC yang sedang dalam proses menyiasat syarikat pelaburan yang ditubuhkan oleh Najib itu?

Dengan penemuan bukti oleh Peguam Negara Switzerland itu, pastinya ramai yang kembali terjaga dan menggigau di tengah-tengah malam memikirkan nasib dan ketentuan takdir di masa hadapan.

Apatah lagi, menurut seorang peguam, N Sivananthan, adalah amalan biasa bagi pihak pendakwaan di Switzerland membuat pengumuman secara terbuka sesuatu kes jenayah berprofil tinggi kerana mereka mengamalkan ketelusan yang tinggi serta untuk memastikan orangramai mengetahui setiap perkembangan kes yang sedang disiasat.

Dalam hal ini, sebagaimana yang sudah sudah dinyatakan semalam, Peguam Negara Malaysia haruslah mengotakan janjinya untuk memberi kerjasama sewajarnya kepada rakan sejawatannya di Switzerland bagi menegakkan kebenaran dan keadilan berkaitan transaksi wang yang mencurigakan itu.

Bermakna, sebarang hasilnya nanti, setelah bukti itu diserahkan kepada Peguam Negara kita, ia pasti akan didedahkan secara terbuka sekali lagi kepada seluruh dunia.

Tidak semestinya penemuan itu menjurus berkaitan Najib, tetapi tentulah apa saja bukti salah laku berkaitan 1MDB akan memberikan tempias kepadanya juga.

Selain itu, apakah setelah Switzerland, pihak berkuasa negara-negara lain seperti London, Hong Kong, Perancis, AS,  Singapura dan sebagainya akan turut menemui bukti-bukti yang mencurigakan juga berkaitan 1MDB selepas ini?

Jika itu berlaku, bagaimanakah imej negara dan Najib di mata dunia?

Setidak-tidaknya penghargaan harus diberikan kepada Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang yang gigih membuat laporan ke pelbagai negara sebelum ini, meskipun mereka "sengsara" disosmakan kerananya.

Dan akhirnya, kebenaran dan keadilan mungkin hanya akan dibongkar oleh negara-negara yang bukan beragama Islam, tetapi begitu tinggi nilai intergriti dan kejujurannya.


Tiada ulasan: