Khamis, 11 Februari 2016

Setahun selepas perginya seorang 'tuan guru'

Geraldine Tong

 


Keadaan pembangkang dilihat penuh kacau-bilau selepas setahun perginya ikon legenda PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ini ditambah lagi dengan pemenjaraan tokoh pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim genap setahun lalu, selepas disabitkan bersalah meliwat bekas pembantunya.

Nik Aziz, yang digelar “tuan guru” oleh banyak pihak, meninggal dunia dua hari selepas itu, pada 12 Februari, selepas lama bergelut dengan barah.

Pada ketika inilah, menurut pemimpin pusat tinjauan awam Merdeka Centre Ibrahim Suffian, bermulanya segala masalah pembangkang.

“Kedua-dua lelaki ini, dalam banyak keadaan, menjadi gam yang mengikat bersama gabungan (pembangkang),” katanya kepada Malaysiakini.

Akhirnya, daripada gabungan pembangkang paling berjaya, tidak banyak lagi kesepakatan bersama antara PAS, DAP dan PKR yang membentuk Pakatan Rakyat ketika itu.


Hudud


Masalah dalaman Pakatan, terutamanya antara PAS dan DAP, membarah selepas kedua-dua parti terperangkap dalam isu hudud yang diluluskan di Kelantan 19 tahun lalu.

Selepas ketegangan berbulan-bulan, muktamar tahunn PAS ke-61 meluluskan usul memutuskan hubungan dengan sekutu mereka DAP.

Pada masa yang sama, kumpulan proulama menguasai kepimpinan parti sehingga menyaksikan kekalahan beramai-ramai pemimpin yang dilihat pro-Pakatan dalam PAS.

Ia diikuti dengan pengumuman berakhirnya hayat Pakatan Rakyat oleh ketua anggota parlimen DAP Lim Kit Siang.

Daripada aspek politik, kesannya tidak kecil.

“DAP akan hilang undi Melayu, PAS akan hilang undi Cina,” katanya.

Umno bukan lagi musuh terbesar

Dengan kawalan kumpulan pro-ulama makin ketat, kumpulan yang tewas dalam pemilihan parti Jun lalu memilih jalan lain.

Bermula dengan pembentukan NGO Gerakan Harapan Baru, diketuai bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu mengumumkan pembentukan parti Amanah Negara (AMANAH).

Ia dijenamakan sebagai sebuah parti Islam yang lebih inklusif dan menerima keanggotaan penuh bukan Islam.

Bagi penganalisis politik Wong Chin Huat, AMANAH kini mengambil alih kedudukan Umno sebagai musuh terbesar PAS sebelum ini.

Harapan tanpa PAS

Dalam usaha menyatukan semula pembangkang, Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil inisiatif mengadakan mesyuarat pemimpin-pemimpin pembangkang.

Wan Azizah, kali kedua menjadi ketua pembangkang,bertindak sebagai orang tengah – peranan biasa PKR dalam Pakatan.

Bagaimanapun, kali ini keadaan berbeza dan hasilnya juga berbeza.

Akhirnya gabungan baru pembangkang Pakatan Harapan dibentuk tanpa PAS. Tempat PAS digantikan oleh AMANAH, parti serpihannya.

Bagaimanapun, PAS tetap mempertahankan kerjasama mereka dengan PKR, sekali gus mewujudkan keadaan serba tidak kena bagi PKR.

Di Selangor, PAS dan DAP masing-masing masih mempunyai exco dalam kerajaan negeri.

Kuasa blok pembangkang

Ketika pembangkang berdepan masalah dalaman, BN juga menghadapi masalah serupa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dihantui pelbagai dakwaan skandal mengambil langkah drastik menggugurkan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dari kabinet.

Keretakan dalaman Umno, ditambah lagi dengan keadaan ekonomi dan kejatuhan ringgit, mewujudkan kebimbangan umum dalam negara.

Pada 22 Oktober, semasa sidang dewan Rakyat 2015, Azizah mengemukakan undi tidak percaya terhadap Najib.

Usul itu bagaimanapun tidak dibentangkan di parlimen.

Ibrahim kini melihat keadaan blok pembangkang yang amat lemah di Dewan Rakyat bagi melawan BN.

Tiada ulasan: